WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) pada Khamis mengenakan sekatan terhadap seorang senator Kemboja bersama rangkaian individu dan entitinya, atas tuduhan menipu rakyat AS di pusat ‘scammer’ atau penipuan yang beroperasi di seluruh negara Asia Tenggara itu.
Senator Kok An dan sekutunya didakwa beroperasi menerusi kasino serta taman pejabat yang diubah suai untuk aktiviti penipuan selain terlibat dalam pengubahan wang haram hasil dana mangsa termasuk menyediakan pangkalan bagi menyasarkan rakyat AS.
Jabatan Perbendaharaan AS dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa seramai 28 individu dan entiti turut menjadi sasaran sekatan tersebut.
Kok An dilaporkan menguruskan perniagaan yang dikenali sebagai Resort Crown yang memiliki beberapa kasino dan bangunan di bandar-bandar utama Kemboja.
Dalam kenyataan berasingan, Jabatan Negara AS mendakwa Kok An dan sekutunya mengaut keuntungan daripada pusat penipuan yang menyasarkan rakyat AS, selain sering menggunakan mangsa pemerdagangan manusia yang dipaksa melakukan jenayah di bawah ancaman keganasan.
Selain itu, Jabatan Keadilan AS turut mengumumkan pertuduhan terhadap dua individu yang didakwa menguruskan pusat penipuan pelaburan mata wang kripto di Myanmar dan cuba membuka kompleks serupa di Kemboja.
Sementara itu, Jabatan Negara menawarkan ganjaran bagi maklumat yang membawa kepada rampasan atau pemulihan hasil yang dikaitkan dengan pusat penipuan Tai Chang di Myanmar yang aktif menjalankan aktiviti penipuan dalam talian.
Kemboja dan Myanmar kini muncul sebagai pusat utama operasi penipuan siber dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Kumpulan jenayah rentas sempadan ini pada mulanya hanya menyasarkan penutur bahasa Mandarin sebelum meluaskan rangkaian mereka sehingga mengakibatkan kerugian berpuluh-puluh bilion dolar kepada mangsa di seluruh dunia setiap tahun.
Menurut Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC), kumpulan jenayah terancang ini menggunakan kasino, hotel serta bangunan berkubu sebagai pangkalan untuk menjalankan penipuan sofistikated melalui skim pelaburan kripto selain hubungan cinta palsu. – AFP










