BESUT: Seorang guru lelaki mengalami kerugian sebanyak RM258, 060 selepas dipercayai terpedaya sindiket ‘phone scam’ pada Jun lalu.
Pemangku Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintenden Azrol Anuar Nor berkata, mangsa berusia 28 tahun dikatakan telah menerima panggilan daripada individu yang tidak dikenali dengan memperkenalkan diri daripada Ibu Pejabat J&T di Kuala Lumpur pada 26 Jun lalu
Menurutnya Individu tersebut memberitahu mangsa mempunyai satu bungkusan yang dipos atas namanya yang berisi kad pengenalan dan kad bank.
“Individu berkenaan menyatakan perkara itu menyalahi undang-undang dan meminta mangsa membuat laporan polis melalui atas ditalian sebelum menyambung panggilan tersebut kepada pihak yang menyamar sebagai polis.
“Mangsa kemudiannya dimaklumkan namanya telah terlibat dengan kes penggubahan wang haram dan penjualan akaun bank,” katanya di sini hari ini.
Ekoran daripada itu, individu tersebut menyuruh mangsa mengosongkan akaun banknya dengan memindahkan wang ke akaun sementara yang diberikan suspek bagi menyelamatkan akaun mangsa dibekukan.
Tambah beliau lagi, susulan itu mangsa telah melakukan pindahan wang sebanyak 27 kali kepada beberapa akaun berlainan.
“Menyedari dirinya telah ditipu mangsa telah bertindak membuat laporan polis dan kes disiasat di bawah seksyen 420 kanun keseksaan,” ujarnya. – UTUSAN










