KUALA LUMPUR: Kerugian akibat penipuan dalam talian di Malaysia mencecah hampir RM680 juta dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini, menunjukkan ancaman jenayah kewangan yang semakin membimbangkan.
Pengerusi Asian Institute of Chartered Bankers (AICB), Tan Sri Azman Hashim berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut merekodkan kerugian hampir RM3 bilion akibat penipuan dalam talian sepanjang 2025.
Menurutnya, angka berkenaan menunjukkan keperluan memperkukuh usaha pencegahan jenayah kewangan menerusi penggunaan data, risikan dan kerjasama antara pelbagai pihak.
“Jenayah kewangan tidak mengenal sempadan institusi, industri atau negara. Sebuah bank, penyedia telekomunikasi, platform digital dan agensi penguatkuasaan masing-masing mungkin melihat bahagian berbeza daripada jenayah yang sama.
“Menghubungkan pandangan tersebut membolehkan cebisan maklumat ditukar menjadi risikan yang boleh diambil tindakan.
“Inilah sebabnya kerjasama amat penting. Institusi kewangan kini mempunyai akses kepada lebih banyak maklumat berbanding sebelum ini. Namun, data semata-mata tidak mampu melindungi sistem kewangan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Persidangan Antarabangsa mengenai Jenayah Kewangan dan Pembiayaan Keganasan (IFCTF) 2026, di sini hari ini.
Menurutnya, kecerdasan buatan (AI) semakin memainkan peranan dalam usaha membanteras jenayah kewangan.
Katanya, Laporan AICB–Ecosystm AI in Practice 2026 menunjukkan pengesanan penipuan dan pencegahan pengubahan wang haram serta pencegahan pembiayaan keganasan (AML/CFT) antara penggunaan utama AI dalam bank dan institusi kewangan pembangunan di Malaysia.
“AI boleh menghubungkan corak transaksi dan memperkukuh siasatan, tetapi nilainya bergantung kepada data yang boleh dipercayai, pengujian yang rapi serta pertimbangan profesional yang wajar, dengan akauntabiliti yang jelas terhadap setiap keputusan,” katanya.
Beliau berkata, Forum Ketua Pegawai Risiko AICB turut membangunkan Rangka Kerja Tadbir Urus AI dengan sokongan Bank Negara Malaysia (BNM) dan pengesahan Persatuan Bank-Bank dalam Malaysia bagi membantu institusi menguruskan risiko berkaitan teknologi berkenaan.
Tambahnya, institusi kewangan perlu menterjemahkan panduan itu kepada kawalan yang berkesan, pemantauan berterusan dan pertimbangan profesional yang wajar.
“Kepentingan tadbir urus AI turut merangkumi ekonomi secara keseluruhan memandangkan teknologi itu semakin mempengaruhi keputusan yang memberi kesan kepada kehidupan, akses kepada perkhidmatan dan maklumat peribadi.
“Penggunaan yang bertanggungjawab amat penting bagi mengekalkan kepercayaan awam. Tadbir urus yang kukuh dan tenaga profesional yang berkeupayaan akan membantu melindungi sistem kewangan kita serta menyokong kemajuan ekonomi Malaysia yang lebih luas,” katanya. – UTUSAN











