ALOR GAJAH: Kemasukan pengundi baharu susulan pelaksanaan Undi18 dan pendaftaran pemilih secara automatik menjadi antara cabaran yang perlu diberi perhatian Barisan Nasional (BN) Melaka dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 14 November ini.
Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, perubahan landskap pengundian itu menuntut jentera parti supaya tidak hanya bergantung kepada kaedah tradisional, sebaliknya perlu memperkukuh pendekatan mendekati pengundi bagi memastikan sokongan terhadap BN dapat dipertahankan.
Beliau berkata, pengalaman kekalahan BN dalam banyak kerusi Parlimen pada pilihan raya umum lalu perlu menjadi iktibar walaupun parti membentuk kerajaan negeri apabila berjaya memenangi 21 daripada 28 kerusi DUN pada PRN 2021.
Menurutnya, antara perkara yang perlu dinilai ialah kegagalan parti memahami sepenuhnya perubahan komposisi pengundi, khususnya selepas lebih ramai rakyat diberikan peluang mengundi menerusi pelaksanaan Undi18 dan pendaftaran pemilih secara automatik.
“Kalau dulu, kita boleh daftar pemilih, ambil nama-nama pemilih dan simpan dalam bakul kita. Kita boleh tahu, kalau bertanding di sini, kita boleh menang.
“Tetapi apabila pengundi baharu dibenarkan mengundi, bukan sahaja mereka berusia 18 tahun, malah mereka yang berusia 60 tahun tetapi tidak pernah mengundi juga boleh mengundi.
“Kita tidak tahu siapa mereka dan dari mana datangnya kerana secara automatik mereka menjadi pemilih. Akhirnya, kita tewas kerusi Parlimen Alor Gajah,” katanya merasmikan Majlis Pelancaran Jentera Barisan Nasional Parlimen Alor Gajah di Dewan Kampung Permai Machap Umboo di sini, hari ini.
Ab. Rauf berkata, keputusan pilihan raya lalu membuktikan kemenangan di peringkat DUN tidak semestinya menjamin kejayaan di peringkat Parlimen, justeru setiap kelemahan perlu dikenal pasti bagi mengelakkan perkara sama berulang.
Katanya, BN memenangi beberapa kerusi DUN di kawasan Parlimen Alor Gajah, termasuk Gadek, Asahan dan Machap Jaya, namun keputusan itu tidak diterjemahkan kepada kemenangan di peringkat Parlimen.
Sehubungan itu, beliau mahu jentera parti membuat penilaian menyeluruh terhadap kekuatan dan kelemahan mereka, selain memastikan setiap gerak kerja dilaksanakan secara tersusun serta mengambil kira perubahan corak pengundian.
“Walaupun kita menang cemerlang di peringkat DUN, tetapi kita tewas di peringkat Parlimen. Kekalahan itu mesti menjadi bahan rujukan mengapa kita tidak boleh menang.
“Adakah jentera tidak kuat? Saya tidak nampak jentera Alor Gajah ini tidak kuat. Saya melihat jentera ini cukup hebat, tetapi kita perlu bertanya mengapa kita kalah,” katanya.
Dalam pada itu, Ab. Rauf mengingatkan seluruh anggota parti supaya mengetepikan kepentingan peribadi dan mengutamakan perjuangan BN bagi memastikan jentera dapat bergerak sebagai satu pasukan sepanjang tempoh menghadapi PRN Melaka.
Beliau berkata, perselisihan dalaman dan rasa tidak puas hati terhadap pemilihan calon tidak seharusnya menjadi punca perpecahan sehingga menjejaskan peluang parti untuk mempertahankan kerusi yang dimenangi.
Menurutnya, semua anggota parti perlu menghormati keputusan kepimpinan dalam menentukan calon dan memberikan sokongan penuh kepada individu yang dipilih untuk mewakili BN.
“Yang hendak menang ialah parti, bukan peribadi. Jangan ada yang menjadi duri dalam daging atau gunting dalam lipatan.
“Kita hendak menang dan tidak mampu kalah lagi. Siapa juga yang parti pilih, itulah calon yang kita akan menangkan untuk pilihan raya akan datang,” katanya. – UTUSAN











