Brisk Walk Fun UiTM mulakan sambutan bulan kemerdekaan - Utusan Malaysia

Brisk Walk Fun UiTM mulakan sambutan bulan kemerdekaan

UiTM kemerdekaan
HAYATI Saad (tengah) bersama sebahagian kakitangan Pejabat Canseleri UiTM menyertai program Brisk Walk Fun 6.0 di UiTM Shah Alam, Selangor. - UTUSAN / MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Warga Universiti Teknologi Mara (UiTM) memulakan sambutan bulan kemerdekaannya dengan aktiviti Brisk Walk Fun 6.0 sambil mengibarkan Jalur Gemilang mengelilingi kampus induknya, di sini sepanjang kira-kira lima kilometer (km).

Penolong Naib Canselor Strategi UiTM, Prof. Dr. Hayati Saad berkata, aktiviti tersebut merupakan salah satu program dianjurkan bagi memula dan menyemarakkan kempen cintakan negara dalam kalangan kakitangan universiti itu sendiri.

“Sebenarnya, aktiviti berjalan perlahan (briswalk) adalah aktiviti mingguan yang dijalankan Pejabat Canseleri yang bertujuan memastikan kesemua kakitangan bahagian ini berada dalam keadaan sihat walaupun sibuk dengan urusan kerja masing-masing.

“Istimewanya aktiviti ini pada bulan ini, setiap kakitangan akan membawa bendera Malaysia mini sambil berjalan 5.25 km mengelilingi kampus,” katanya ketika ditemui dalam program yang disertai lebih 50 kakitangan.

Sementara itu, Hayati memberitahu, pelbagai program akan dianjurkan UiTM Shah Alam sepanjang bulan ini untuk memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan peringkat universiti seperti deklamasi puisi, perarakan merdeka serta sambutan malam ambang kemerdekaan.

Menurutnya, sambutan malam ambang kemerdekaan, akan diadakan pada malam 30 Ogos di padang kawad bersama Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Dr Shahrin bin Sahib @ Sahibuddin.

“Malah, orang ramai dialu-alukan untuk hadir bagi memeriahkan sambutan malam tersebut yang dijangka bermula pada pukul 9 malam.

“Di samping itu, kita menyasarkan untuk menanam lebih 10,000 pokok pelbagai jenis bunga di sekitar kampus UiTM Shah Alam. Pejabat Canseleri juga meminta pengurusan setiap kampus untuk menganjurkan program berbentuk patriotik,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN