PATTANI (THAILAND): Seorang anggota Kor Pertahanan Sukarelawan Wilayah Pattani maut ditembak sekumpulan lelaki bersenjata yang menyerang hendapnya ketika dalam perjalanan menunaikan solat Jumaat di Kampung 2, Mukim Talok Kraithong.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.05 petang di Rusli Uma, 54 dari Kor Pertahanan maut di lokasi.
Seorang daripada penyerang yang dikenali sebagai Muhammad Bila Kama, 36, turut terbunuh dalam insiden berbalas tembakan.
Jurucakap Pusat Operasi Keselamatan Dalam Negeri Wilayah 4 (ISOC 4) berkata, rakan Rusli yang turut menunggang motosikal bersamanya cedera parah dan kini dirawat di Hospital Daerah Mai Kaen.
Katanya, kejadian berlaku ketika kedua-dua anggota pasukan keselamatan itu dalam perjalanan ke sebuah masjid berhampiran untuk menunaikan solat Jumaat sebelum sekumpulan lelaki bersenjata yang bersembunyi di kawasan hutan melepaskan tembakan ke arah mereka.
“Kedua-dua anggota pasukan keselamatan itu sempat membalas tembakan sehingga menyebabkan seorang daripada penyerang, terkena tembakan di kepala.
“Rusli disahkan terbunuh di tempat kejadian, manakala Muhammad Bila meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Daerah Mai Kaen. Rakan Rusli yang cedera parah masih dirawat di hospital sama,” katanya ketika dihubungi semalam.
Jurucakap memberitahu, siasatan awal pihak berkuasa mendapati Muhammad Bila dikenal pasti sebagai anggota kumpulan pemisah peringkat operasi yang menerima latihan di negara jiran dan menetap di Kampung No. 5, Mukim Nambo, Daerah Panare, Pattani.
Katanya, laporan awal turut menunjukkan kumpulan penyerang merampas sepucuk pistol berkaliber .38 milik Rusli sebelum melarikan diri.- UTUSAN











