PETALING JAYA: Usaha membanteras kegiatan lumba haram dalam kalangan belia tidak seharusnya tertumpu kepada penguatkuasaan undang-undang semata-mata, sebaliknya perlu turut menangani punca yang mendorong mereka terlibat dalam aktiviti berbahaya itu.
Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Ahmad Fahmi Mohd. Samsudin berkata, tindakan juga perlu menyasarkan penganjur, pembiaya dan pihak yang memudahkan kegiatan lumba haram berdasarkan bukti serta peruntukan undang-undang sedia ada.
Katanya, tindakan yang menyeluruh penting bagi memastikan usaha membanteras kegiatan itu tidak hanya menyasarkan individu yang menunggang motosikal, sebaliknya turut mengambil kira pihak yang memungkinkan aktiviti berkenaan terus berlangsung.
“Punca belia terlibat dalam lumba haram perlu dikenal pasti supaya langkah pencegahan dapat dilaksana lebih berkesan.
“Pada masa sama, tindakan undang-undang perlu turut menyasarkan penganjur, pembiaya dan pihak yang memudahkan kegiatan itu berdasarkan bukti serta peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Akhbar ini semalam melaporkan, perbuatan merempit atau lumba haram, termasuk menunggang motosikal secara melulu kini menjadi kesalahan jalan raya yang boleh didenda sehingga RM10,000 apabila Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2026 mula berkuat kuasa kelmarin.
Mengulas lanjut, Ahmad Fahmi berkata, penguatkuasaan terhadap kegiatan lumba haram perlu disertai pembangunan belia bagi menangani pengaruh rakan sebaya, pencarian identiti dan kecenderungan mengambil risiko dalam kalangan golongan itu.
Katanya, memahami punca penglibatan golongan itu dalam kegiatan lumba haram tidak bermakna membenarkan kesalahan.
“Kementerian Pengangkutan bersama agensi berkaitan menyelaraskan program pencegahan dan pemulihan melalui kerjasama rentas kementerian serta pertubuhan masyarakat.
“Program hendaklah disesuaikan mengikut umur, tahap risiko dan rekod kesalahan, merangkumi pendidikan keselamatan jalan raya, pendampingan berterusan serta peluang latihan kemahiran atau pekerjaan mengikut keperluan,” katanya
Beliau berkata, ABIM menghargai usaha penguatkuasaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan JPJ, namun pelaksanaannya perlu konsisten, profesional, berintegriti serta adil tanpa mengira umur, kedudukan atau jenis kenderaan.
Tambah beliau, MOT juga wajar menerbitkan penilaian keberkesanan pelaksanaan secara berkala yang merangkumi trend kemalangan, kematian dan kecederaan berkaitan lumba haram serta kadar kesalahan berulang, selain jumlah operasi, tangkapan dan sitaan.
“Ukuran kejayaan adalah berkurangnya kemudaratan di jalan raya dan keberkesanan membimbing belia keluar daripada kegiatan ini,” katanya. – UTUSAN











