WASHINGTON: Iran tidak lagi dapat menjalankan aktiviti import dan eksport melalui laut, kecuali bagi bantuan kemanusiaan yang dibenarkan masuk, susulan sekatan Amerika Syarikat (AS) terhadap hasil minyak dan pembiayaan ketenteraan negara itu.
Komander Markas Pemerintahan Pusat AS (CENTCOM), Laksamana Brad Cooper, berkata langkah itu sebahagian daripada kempen Washington untuk menyekat sumber kewangan Teheran.
Beliau berkata, usaha AS tertumpu kepada tiga aspek, iaitu menyekat eksport minyak Iran, mengganggu pembiayaan digital dan melemahkan keupayaan pasukan keselamatan negara itu membayar gaji anggota.
“Sebagai penegasan, kecuali bantuan kemanusiaan yang dibenarkan masuk, Iran tidak mempunyai sebarang eksport atau import melalui laut,” katanya dalam mesej video kelmarin.
Cooper berkata, pasukan AS menghalang Iran daripada mengeksport minyak mentah bernilai sekurang-kurangnya AS$25 bilion (RM102 bilion) sejak beberapa bulan lalu.
Menurutnya, CENTCOM turut bekerjasama dengan agensi kerajaan AS bagi membekukan aset mata wang kripto bernilai hampir AS$350 juta (RM1.42 bilion).
Beliau berkata, langkah itu bertujuan menyekat keupayaan Iran membiayai kegiatan keganasan serta menggantikan senjata dan membina semula kilang yang dimusnahkan dalam serangan AS.
Cooper mendakwa, kumpulan yang bersekutu dengan Iran dan beroperasi di seluruh rantau itu mula menangguhkan pembayaran gaji kepada anggota mereka bagi menyalurkan dana kepada Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC).
Beliau turut mendakwa, IRGC juga sedang bergelut untuk membayar gaji kakitangannya.
“Rejim Islam itu jelas merasai tekanan ekonomi, manakala IRGC semakin menunjukkan tanda-tanda terdesak akibat keadaan itu,” katanya.
Cooper berkata, meskipun perdagangan maritim Iran dikenakan sekatan, aktiviti perkapalan komersial masih diteruskan melalui Selat Hormuz.
“Biar saya tegaskan, Selat Hormuz dikawal oleh Amerika Syarikat dan rakan serantau kami, bukannya Iran, dan laluan itu kekal terbuka untuk aktiviti perdagangan,” katanya.- AGENSI











