KUALA LUMPUR : Tahap kecekapan digital dalam kalangan guru terus mengukuh dimana ia mencatatkan peningkatan pada tahun ini sebanyak 74.73 peratus atau 84,818 orang sehingga 30 Jun lalu.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, daripada kemaskini analisis itu juga turut menunjukkan jumlah guru pada tahap asas menurun kepada 23.53 peratus atau 84,818 orang, manakala 1.37 peratus atau 6,246 lagi berada di tahap lanjutan.
“Dasar Pendidikan Digital yang dilancarkan tahun lalu, menitikberatkan beberapa teras atau bahagian untuk mempertingkatkan kualiti dan prestasi, termasuk murid fasih digital, pendidik cekap digital dan pembangunan infrastruktur.
“Justeru, setiap tahun KPM melakukan saringan tahap kecekapan digital ke atas warga pendidik bagi memastikan mereka mempunyai tahap kompetensi yang tinggi,” katanya.
Beliau menjawab soalan tambahan Roslan Hashim (PN-Kulim Bandar Baharu) mengenai isu kemiskinan digital dalam kalangan guru pada sesi lisan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Kajian Tahap Kompetensi Digital Guru dilaporkan dalam dokumen Dasar Pendidikan Digital 2023, mendapati hanya 2.2 peratus guru berada pada tahap lanjutan, manakala pertengahan (39.9 peratus) dan asas (57.9 peratus).
Ahli Parlimen Taiping itu berkata, Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) melaksanakan latihan kecekapan digital bagi memastikan guru dihantar ke negeri masing-masing kompeten dan dapat mengadaptasi teknologi dalam sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP).
Katanya, ia menjurus kepada domain kecekapan pembelajaran digital seperti digariskan ‘The European Framework for the Digital Competence of Edicators’.
“Semua domain dijelmakan dalam bentuk kurikulum program pendidikan di IPGM dan KPM memberi komitmen untuk merealisasikan teras seperti dinyatakan dalam Dasar Pendidikan Digital.
“Selain itu, pasukan petugas khas ditubuhkan khusus bagi membangunkan pendidikan digital dan mencapai hasrat dalam dasar berkenaan,” katanya. – UTUSAN










