SHAH ALAM: Kerajaan negeri digesa melaporkan perincian capaian perkhidmatan pengangkutan awam di seluruh negeri dalam Kajian Separuh Penggal Rancangan Selangor 1 (RS1) apabila ia didakwa tidak selari dengan pertumbuhan penduduk di sesuatu kawasan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram, Datuk Harrison Hassan berkata, pengangkutan awam sepatutnya dimasukan dalam keutamaan dan penekanan pada lima pemangkin di bawah dasar tersebut.
Menurutnya, beliau menyambut baik hasrat kerajaan untuk meningkatkan ketersambungan hujung ke hujung serta akses kepada pengangkutan awam melalui inisiatif seperti Laluan Rel Keretapi Pantai Timur (ECRL), Aliran Transit Massa (MRT), Aliran Transit Ringan (LRT) dan Bas Smart Selangor.
“Namun, persoalannya adalah sejauh manakah capaian bagi projek-projek itu, laporan yang sedang dibahaskan itu menyebut, kerajaan negeri menyokong usaha Kerajaan Persekutuan untuk mengembangkan jaringan LRT sebagai sebahagian daripada projek LRT3 serta usaha ke arah memperkukuhkan ketersambungan bantuan akhir atau last mile.
“Bagaimanapun, saya agak hairan mengapa aspek itu tidak diolah dan diperincikan dengan mendalam dalam laporan itu, saya juga ada merujuk rancangan tempatan Majlis Perbandaran Kuala Selangor 2035 dan mendapati iltizam itu juga tidak diketengahkan khususnya di Bandar Puncak Alam yang kita semua tahu pesat membangun,” katanya ketika membahaskan usul kajian tersebut pada Mesyuarat Kedua Penggal Ke-15 Sidang DUN Selangor, hari ini.
Jelasnya, sekiranya pembinaan seperti LRT atau MRT itu terlalu besar di kawasan-kawasan lain, kerajaan negeri perlu menambah baik kemudahan pengangkutan awam seperti Bas Smart Selangor dengan meningkatkan kekerapan aksesnya.
Malah, Harrison turut mendakwa komunikasi masa sebenar menerusi aplikasi Selangor Intelligent Transport System (SITS) dilihat lemah, tersasar dan amat jarang dikemas kini.
“Saya mengambil contoh khusus di Bandar Puncak Alam, beberapa bas dengan kod laluan KS02 yang menghubungkan kawasan itu terus ke Stesen MRT dan Komuter Sungai Buloh, sehingga hari ini saya kerap menerima berpuluh-puluh aduan daripada pengguna bagaimana bas tidak bergerak tidak mengikut jadual dan kekerapan sepatutnya.
“Seandainya aspek sekecil itu, ketersambungan Last Mile melalui Bas Smart Selangor pun tidak mampu diurus dengan baik, saya khuatir bagaimana kerajaan negeri akan dapat merealisasikan permohonan besar daripada rakyat seperti pembangunan LRT pada masa akan datang,” tegasnya.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari sebelum ini dalam pembentangan RS1 menggariskan lima teras pelaksanaannya iaitu pengukuhan ekonomi, peningkatan kesejahteraan dan keterangkuman sosial, pemacuan kelestarian dan tadbir urus SMART dan berkesan. – UTUSAN










