Persatuan Perubatan rayu ahli Parlimen sokong pindaan Akta 50

Persatuan Perubatan rayu ahli Parlimen sokong pindaan Akta 50

Persatuan Perubatan Malaysia (MMA)
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) merayu ahli Parlimen menyokong cadangan pindaan Akta Perubatan 1971 (Akta 50) yang dijadual dibentangkan di Dewan Rakyat, hari ini. 

Menerusi satu surat terbuka kepada ahli-ahli Parlimen, Presidennya, Dr. Azizan Abdul Aziz berkata, pindaan itu penting untuk menyelesaikan isu parallel pathway atau Program Latihan Ijazah Kepakaran yang berterusan dan menangani kekurangan kritikal pakar perubatan di Malaysia.

Katanya, pindaan itu bertujuan membolehkan kedua-dua parallel pathway dan program sarjana dijalankan serentak, menangani jurang antara dua laluan itu untuk pengkhususan dan ia dapat menyediakan lebih banyak peluang kepada pegawai perubatan mengikuti latihan kepakaran.

“Perubahan ini bertujuan mempermudah proses pengiktirafan dan pendaftaran pakar perubatan yang memperoleh kelayakan mereka melalui pelbagai laluan, termasuk kelayakan antarabangsa seperti Fellowship of the Royal College of Surgeons of Edinburgh (FRCS Ed).

“(Selain itu), menjaga Pemantauan Profesional yang mana adalah penting bahawa pengiktirafan dan pendaftaran semua kelayakan pakar tetap berada di bawah bidang kuasa profesion melalui Majlis Perubatan Malaysia (MMC). Ini memastikan standard tinggi pendidikan dan amalan perubatan dikekalkan.

“Kejelasan Undang-Undang dan Peraturan yang mana pindaan ini bertujuan untuk menyelesaikan konflik antara pelbagai badan kawal selia, memastikan semua program latihan pakar memenuhi standard akreditasi nasional,” katanya, hari ini. 

Justeru, Dr. Azizan berkata, pindaan itu bermanfaat menangani kekurangan pakar kerana dengan mengiktiraf pelbagai kelayakan, negara dapat meningkatkan bilangan pakar yang berkelayakan untuk berkhidmat di kemudahan kesihatan awam.

Katanya, pindaan itu juga meningkatkan peluang latihan kerana ia menyediakan kepelbagian laluan latihan untuk pegawai perubatan, berpotensi mengurangkan penghijrahan tenaga perubatan dari Malaysia.

Ujarnya, pindaan itu juga dapat memperbaiki kualiti penjagaan kesihatan berikutan jika lebih banyak pakar tersedia, maka pihaknya menjangkakan perkhidmatan kesihatan yang lebih baik, masa menunggu yang dikurangkan, dan rawatan yang lebih cepat untuk pesakit.

“Kami mengakui kebimbangan mengenai mengekalkan kualiti latihan pakar. MMA menekankan bahawa pindaan ini bertujuan untuk mengekalkan standard tinggi sambil menangani keperluan mendesak penjagaan kesihatan. 

“Kami menyokong komitmen Kementerian Kesihatan untuk memastikan bahawa kualiti latihan, kecekapan pengamal, dan keselamatan pesakit tetap terpelihara,” katanya. 

Oleh itu, beliau menyeru semua Ahli Parlimen untuk menyokong pindaan kepada Akta Perubatan 1971 bagi memastikan setiap rakyat Malaysia mendapat akses kepada penjagaan perubatan yang berkualiti tinggi dan khusus. 

“MMA percaya bahawa pindaan ini, bersama-sama dengan pelaksanaan dan pengawasan yang betul, akan mengukuhkan sistem penjagaan kesihatan kita dan memberi manfaat kepada negara secara keseluruhan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN