Penguat kuasa ambil rasuah lindungi kegiatan haram

Penguat kuasa ambil rasuah lindungi kegiatan haram

Ahmad Khusairi Yahaya
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pen­cegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesan penglibatan penguat kuasa dalam melindungi kegiatan haram di bandar-bandar besar terutama aktiviti penjaja yang dikuasai oleh warga asing.

Kegiatan itu dikesan selepas premis-premis perniagaan yang dijalankan warga asing kian bertambah ibarat tumbuh selepas hujan.

Bukan itu sahaja, walaupun pelbagai tindakan penguatkuasaan dijalankan oleh pihak berkuasa, ia seakan-akan tidak memberi kesan.

Penguat kuasa juga seolah-olah dilihat bermain wayang dan tidak bersungguh dalam tindakan. Kadangkala mereka dikatakan bertindak mengikut musim dan berdiam sahaja di beberapa kawasan tertentu.

Ia turut membabitkan perniagaan berskala kecil seperti lesen penjaja dan kedai-kedai yang kini dimonopoli oleh warga asing.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya berkata, dua operasi khas akan dijalankan SPRM di sekitar Kuala Lumpur bagi mendedahkan isu pemberian dan penerimaan ra­suah melibatkan pemilik premis berkenaan kepada penguat kuasa.

Kata beliau, risikan dijalankan SPRM mendapati, ada pemilik lesen warga tempatan yang menyewakan tapak dan lesen perniagaan mereka kepada warga asing.

“Penguat kuasa ditawarkan suapan rasuah secara bulanan bagi melindungi dan tidak mengambil tindakan ke atas premis yang menggunakan ‘Lesen Ali Baba’ ini.

“Mengambil contoh Pasar Kuala Lumpur, biarpun tindakan penguatkuasaan telah dibuat beberapa kali, warga asing­ tetap memonopoli kawasan terbabit,” katanya di sini.

Beliau berkata, SPRM juga mengesan terdapat ‘tangan-ta­ngan ghaib’ yang melindungi dan membocorkan maklumat-maklumat operasi kepada mereka.

Tambah beliau, SPRM mempunyai kekuatan dan bajet yang terhad untuk memantau dan bertindak ke atas aktivit-aktiviti haram yang berlaku.

“Operasi ini akan menjadi kajian kes untuk membuktikan kepada pihak bertanggungjawab bahawa wujud amalan rasuah dan perlindungan dalam aktiviti peniaga haram ini.,” katanya.

“Diharapkan melalui pendedahan seumpama ini, pihak berkuasa khususnya pihak berkuasa tempatan (PBT) mengambil langkah drastik dan serius dalam membendung aktiviti-aktiviti penjaja yang dikuasai oleh warga asing di bandar-bandar utama,” ujarnya.

Beliau mendedahkan, SPRM dijangka menahan beberapa individu termasuk warga asing, pemegang lesen warga tempatan dan anggota-anggota penguat kuasa yang terlibat dalam kegiatan melindungi aktiviti itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×