PETALING JAYA: Penerbit dan komposer, Ajai berpendapat kemunculan banyak pendengar baharu yang lebih matang telah mengubah trend pasaran muzik yang satu ketika dahulu lebih cenderung menilai bakat menerusi paras rupa.
Kata Ajai atau Mohd. Faizal Maas, kemunculan 60 peratus pendengar baharu sejak kehadiran media sosial membuatkan mereka tidak lagi menilai penyanyi berdasarkan wajah semata-mata.
“Sekarang pasaran sudah berubah, mereka yang tidak memiliki wajah komersial mempunyai peminat yang sangat ramai di aplikasi TikTok. Bahkan ada yang tidak pernah tunjuk wajah langsung ketika menyanyi pun sudah mampu menjana wang ribuan ringgit sehari di aplikasi itu.
“Inilah yang dikatakan bakat semula jadi apabila dengan menjadi diri sendiri, mereka boleh menarik minat dan didekati ramai orang. Tak perlu risau dengan penilaian orang terhadap wajah.
“Jika kita lihat pasaran muzik Indonesia, pendengar mereka sangat terbuka untuk menghargai mana-mana penyanyi asalkan lagu dan muziknya bagus.
“Di Malaysia, saya dapat lihat kita juga sudah beralih kepada trend itu kerana timbul kesedaran baharu dalam kalangan pendengar untuk tidak menilai bakat berdasarkan wajah komersial semata-mata,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sementara itu, penyanyi Seiring Sejalan itu tidak menafikan, sekiranya seorang penyanyi berjaya dari aspek kerjaya, mereka dengan sendirinya semakin bijak untuk tampil lebih bergaya.
“Sudah terbukti yang mana seorang artis semasa album pertama biasa sahaja. Tetapi bila kerjaya nyanyian semakin berjaya, maka dia tukar imej.
“Bakat dahulu, bila sudah digilap dan berduit, soleklah diri masing-masing. Semudah itu,” katanya yang juga juri tetap program realiti baharu, Gimme The Mic Malaysia.
Dalam pada itu, menerusi program realiti baharu itu, Ajai teruja apabila pertandingan nyanyian di Malaysia sudah kembali mengutamakan bakat berbanding wajah komersial dalam kalangan peserta.
“Sudah lama kita tidak buat pertandingan yang mencari bakat nyanyian yang mana kita ketengahkan mereka yang tidak mempunyai wajah komersial semata-mata.
“Sudah tiba masanya kita kembalikan semula suatu pertandingan mencari bakat yang mungkin mencetuskan fenomena seperti era Akademi Fantasia dahulu.
“Kepada mereka yang ada bakat walaupun wajah tidak komersial. Jangan hilang motivasi kerana zaman kini adalah masa anda,” katanya. – UTUSAN










