Klinik kesihatan baharu tampung 200 pesakit sehari di Besut

Klinik kesihatan baharu tampung 200 pesakit sehari di Besut

AHMAD Maslan (tengah) meninjau projek Klinik Kesihatan Kota Putera di Kampung Raja, Besut, Terengganu. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BESUT: Penduduk di daerah ini bakal mendapat kemudahan Klinik Kesihatan Kota Putra baharu bernilai RM32 juta yang dijadual dibuka pada 4 Ogos ini.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, bangunan klinik kesihatan tersebut siap sepenuhnya pada 10 Jun lalu dan akan diserahkan kepada Kementerian Kesihatan pada masa terdekat.

“Projek Klinik Kesihatan Kota Putera ini dibina bagi menggantikan premis lama yang agak uzur serta berkapasiti lebih kecil.

“Klinik kesihatan baharu itu mampu memberi perkhidmatan kepada lebih 200 pesakit setiap hari,” katanya selepas meninjau projek klinik kesihatan itu, semalam.

Ahmad berkata, Klinik Kesihatan Kota Putra memiliki kemudahan klinik pesakit luar, pakar, ibu dan anak serta pergigian selain X-ray.

Selain itu, katanya, pesakit yang menghadapi masalah gigi dan gusi boleh mendapatkan perkhidmatan memasang pendakap gigi.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, kerajaan Persekutuan meluluskan dua projek iaitu pembinaan jambatan baharu merentasi Sungai Besut dan Stesen Bas Jerteh.

“Jambatan baharu sepanjang 1.2 kilometer bernilai RM118 juta itu kini dalam proses reka bentuk sebelum tender dijangka dikeluarkan pada Mei tahun hadapan.

“Kerajaan Persekutuan juga akan membina sebuah stesen bas baharu bernilai RM16.9 juta yang serba moden untuk kemudahan penduduk daerah ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN