KOTA BHARU: Kekurangan doktor didakwa menyebabkan rata-rata pesakit mengambil masa agak lama untuk mendapatkan rawatan di hospital dan klinik setiap kali menghadiri temu janji mengikut jadual yang ditetapkan.
Perkara itu diakui sendiri oleh seorang pesakit, Siti Ramlah Ahmad, 64, dari Tanah Merah.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Siti Ramlah berkata. situasi itu menyebabkan dia terpaksa menunggu sehingga pukul 1 petang termasuk untuk mendapatkan ubat.
“Saya datang bersama anak pada pukul 8 pagi dan baru selesai pukul 1 selepas berjumpa doktor dan mengambil ubat.
“Saya akui memang lama, tetapi apa boleh buat kerana terpaksa juga mendapatkan rawatan selepas menjalani pembedahan dalam perut pada Februari lepas,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Siti Ramlah memberitahu, kerajaan perlu mengambil langkah tertentu bagi mengatasi masalah kekurangan doktor ketika ini sehingga menyebabkan pesakit mengambil masa agak lama bagi mendapatkan rawatan.
Seorang lagi pesakit, Rahimah Husin, 52, turut mengakui masalah sama setiap kali datang untuk mendapat rawatan.
“Setiap kali mendapatkan rawatan, saya menunggu sehingga lima jam untuk berjumpa doktor dengan mengikut giliran. Namun apabila berjumpa doktor tidak pula sampai 30 minit.
“Keadaan ini menyebabkan suami terpaksa mengambil cuti semata-mata untuk menemani saya setiap kali mendapatkan rawatan,” katanya yang menghidap kencing manis. – UTUSAN










