Ketua Pemuda UMNO Kelantan calon BN di Nenggiri

Ketua Pemuda UMNO Kelantan calon BN di Nenggiri

MOHD. Azmawi Fikri Abdul Ghani.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Barisan Nasional (BN) Kelantan dijangka mengumumkan Ketua Pemuda UMNO negeri, Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani sebagai calon parti itu dalam usaha merampas semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Gua Musang pada 17 Ogos ini.

Mendedahkan kepada Utusan Malaysia, sumber rapat BN berkata, pemilihan tokoh muda itu dibuat selepas Mohd. Azmawi memperoleh undian tertinggi kepimpinan UMNO Bahagian Gua Musang.

“Sudah menjadi tradisi UMNO di sini (Gua Musang) dimana kita akan kemukakan undian untuk memilih calon yang akan diketengahkan setiap kali pilihan raya.

“Selain Mohd. Azmawi, Ketua Penerangan UMNO Gua Musang Amran Arifin dan Ketua Wanita Nor Fadzlete Aryani Mat Rosli turut tersenarai. Saya difahamkan Mohd. Azmawi sudah mendapat restu dari Ketua Bahagian Tengku Razaleigh Hamzah,” katanya.

Sumber itu memberitahu, pemilihan Mohd. Azmawi tetap memandangkan tokoh muda itu sudah dikenali selain rapat dengan penduduk di DUN Nenggiri.

Katanya, kehadiran Mohd. Azmawi itu mampu merealisasikan impian BN untuk merampas semula kerusi DUN Nenggiri.

“Jadi saya harap seluruh jentera BN mahupun Pakatan Harapan (PH) memberi sokongan dan bekerja untuk kemenangan Mohd. Azmawi.

“Kemenangan itu penting bagi memastikan sidang DUN Kelantan selepas ini lebih ‘panas’ dalam membahaskan isu-isu melibatkan kepentingan rakyat,” ujarnya.

Pada 13 Jun lalu, Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd. Amar Abdullah mengumumkan kerusi DUN Nenggiri dikosongkan.

Ia selepas beliau menerima notis bertulis mengikut fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan daripada seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Bersatu mengenai pengguguran keahlian bekas ADUN Nenggiri, Mohd. Azizi Abu Naim daripada Bersatu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kemudian menetapkan pengundian PRK DUN Nenggiri pada 17 Ogos depan manakala tarikh penamaan calon serta pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 3 dan 13 Ogos.

Pada Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN15) Mohd Azizi Abu Naim menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Ab. Aziz Yusoff dengan majoriti 810 undi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN