KUALA LUMPUR : Bantuan tunai subsidi diesel RM200 melalui Budi MADANI akan dinilai semula jika harga runcit bahan bakar itu meningkat pada masa akan datang.
Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, bagaimanapun untuk setakat ini, jumlah bantuan yang diberikan adalah cukup bagi menampung kos diesel bulanan tambahan.
Malah katanya, kadar tersebut adalah kajian yang dibuat berdasarkan Jabatan Perangkaan (DOSM).
“Kerajaan akan mengkaji jumlah pemberian subsidi (diesel) dari semasa ke semasa. Ketetapan jumlah bantuan RM200 sebulan adalah hasil kajian mendalam dan rundingan dengan pelbagai pihak berkepentingan termasuk pemilik kenderaan, pakar ekonomi dan industri.
“Berdasarkan data Laporan Survei Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah 2022 dikeluarkan DOSM berkaitan perbelanjaan bulanan bahan bakar diesel isi rumah, dianggarkan RM200 adalah jumlah mencukupi untuk menampung kos diesel bulanan tambahan bagi 80 peratus isi rumah di Semenanjung.
“Kerajaan akan sentiasa memantau situasi semasa, termasuk pelaksanaan penyasaran subsidi diesel dan penambahbaikan akan dibuat dari semasa ke semasa jika perlu.
“Ia bagi memastikan golongan benar-benar layak terus mendapat perhatian kerajaan dalam mendepani cabaran kos sara hidup,” katanya Dewan Rakyat, di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Suhaimi Nasir (BN-Libaran) mengenai ketetapan jumlah bantuan tunai Budi MADANI, jika harga diesel meningkat di masa akan datang. – UTUSAN










