DEWAN NEGARA: Bantuan tunai tidak jadikan rakyat pemalas 

DEWAN NEGARA: Bantuan tunai tidak jadikan rakyat pemalas 

LIM Hui Ying semasa sesi pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Negara hari ini. - JABATAN PENERANGAN MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan menafikan pemberian wang tunai untuk membantu rakyat hanya membuatkan mereka lebih malas berusaha kerana ia memberi impak tinggi dalam merancakkan ekonomi.

Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, mengambil contoh program Sumbangan Tunai Rahmah (STR), beliau percaya, bantuan itu membantu golongan berpendapatan rendah (B40) dalam merancakkan kitaran ekonomi melalui perbelanjaan dalam sektor perusahaan kecil dan sederhana. 

“Pemberian wang tunai bukan sahaja membantu golongan B40, malah memberi kesan gandaan kepada industri berkenaan. 

“Pandangan ahli-ahli akademik dan ahli ekonomi menyokong bahawa melalui bantuan tunai, peruntukan kerajaan disuntik semula ke dalam ekonomi negara apabila penerima membelanjakan wang ini. 

“Wang ini akan merangsang ekonomi dengan peningkatan barangan kerana melalui bantuan wang tunai, rakyat mampu berbelanja,” katanya semasa sesi pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Negara hari ini. 

Beliau menjawab soalan tambahan Senator Roderick Wong Siew Lead (DAP) jika kerajaan bercadang meneruskan skim bantuan tunai kepada rakyat. 

Beliau bertanya kerana wujud pandangan yang bantuan seperti itu tidak membantu rakyat keluar dari kemiskinan, sebaliknya menjadikan mereka selesa dan kurang berusaha dalam menjana pendapatan. 

Dalam perutusan negara disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Mei lalu, katanya, Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) diteruskan dengan peningkatan peruntukan serta jumlah penerima.

Katanya, SARA ditambah baik dengan meningkatkan peruntukan kepada RM700 juta, atau lebih lima kali ganda berbanding RM130 juta tahun lalu selain meluaskan bilangan penerima kepada 700,000 orang dan menambah nilai bantuan kepada RM1,200 berbanding RM600.

Jelasnya, kerajaan turut menaikkan peruntukan STR sebanyak RM2 bilion atau 25 peratus iaitu daripada RM8 bilion (2023) kepada RM10 bilion (2024) yang memanfaatkan sekitar sembilan juta penerima bersamaan 60 peratus penduduk dewasa Malaysia. 

Bagaimanapun, pada Januari lalu, Utusan Malaysia melaporkan, SARA yang memakan kos RM700 juta untuk 700,000 penerima memerlukan penilaian kritikal tentang potensi kelemahan dan kesan jangka panjang supaya rakyat tidak terlalu bergantung kepada insentif tunai itu.

Pensyarah Kanan Jabatan Ekonomi dan Kewangan, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Melaka, Dr. Mohamad Idham Md. Razak berkata, kebergantungan rakyat yang berlebihan terhadap SARA boleh ‘memerangkap’ penerima dalam kitaran kemiskinan, akibat kekurangan insentif untuk bekerja dan pelaburan dalam pembangunan kemahiran.

Katanya, SARA juga mendorong isu ketidakcekapan menyaksikan individu yang tidak layak mendapat manfaat manakala yang layak terlepas.

Menurutnya, SARA berisiko dikritik kerana hanya menyediakan jumlah sokongan minimum yang hampir tidak meliputi keperluan asas seperti makanan dan tempat tinggal, menyebabkan isi rumah berpendapatan rendah terdedah kepada perbelanjaan tidak dijangka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×