Bantuan tunai untuk subsidi bahan api lebih telus

Bantuan tunai untuk subsidi bahan api lebih telus

Pemberian subsidi tunai disifatkan alternatif terbaik bagi mengelak ketirisan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan dicadang melaksanakan mekanisme pemberian bantuan tunai kepada golongan sasar untuk program subsidi bahan api yang bakal dimulakan kerajaan tidak lama lagi susulan peluncuran Pangkalan Data Utama (PADU), awal minggu ini.

Menerusi langkah tersebut, golongan sasar akan menerima bantuan tunai dalam tempoh ditetapkan untuk membeli petrol atau diesel di pasaran pada nilai semasa tanpa subsidi pukal sepertimana dilaksanakan ketika ini.

Mengambil contoh, program subsidi bahan api dijangka menyaksikan semua lapisan rakyat perlu membayar RM3.18 seliter untuk diesel RON95 berbanding kini RM2.05 manakala golongan sasar boleh menggunakan bantuan tunai yang disalurkan kerajaan untuk menampung pembelian bagi mengurangkan beban dan kos sara hidup.

Langkah tersebut dilihat lebih telus berbanding menunjukkan kad pengenalan atau sistem kad elektronik kerana boleh mengundang pelbagai masalah dan mencetuskan ketirisan yang didalangi pihak-pihak tertentu dengan mencari helah untuk membeli bahan api pada harga lebih rendah.

Sebelum ini, Kementerian Ekonomi memaklumkan program subsidi bersasar bagi RON95 akan dimulakan oleh kerajaan pada separuh kedua tahun hadapan susulan penubuhan PADU pada Selasa lalu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM), Datuk Khairul Annuar Abdul Aziz berkata, pihaknya telah mengemukakan cadangan kepada kerajaan untuk berhubung mekanisme pemberian bantuan tunai untuk merealisasikan program subsidi bahan api yang bakal dilaksanakan tidak lama lagi.

Katanya, langkah itu dijangka menyaksikan bantuan tunai akan disalurkan dalam akaun bank golongan sasar berdasarkan maklumat dalam PADU dan penerima boleh menggunakannya untuk membeli bahan api seperti petrol atau diesel.

“Jika menggunakan mekanisme mengikut kad pengenalan atau sistem kad elektronik mahupun mengikut nombor pendaftaran kenderaan, ia dilihat sukar untuk pemantauan dan memastikan adakah individu terlibat benar-benar pemegang dokumen identiti tersebut, ia memberi ruang ketirisan kerana mungkin pihak ketiga menggunakan kad orang lain membeli bahan api meskipun tidak layak.

“Oleh itu, mekanisme pemberian bantuan tunai dilihat lebih menyeluruh dan tidak memerlukan pemantauan. Ini bermaksud, harga bahan api dijual pada harga semasa tanpa mengira peringkat kumpulan, sebaliknya golongan sasar boleh menggunakan bantuan tunai untuk menampung perbezaan harga,” katanya.

Pada Selasa lalu, kerajaan melancarkan PADU iaitu sistem mengandungi profil individu dan isi rumah meliputi warganegara dan pemastautin tetap di Malaysia yang menjadi peneraju kepada sistem pengagihan subsidi dan bantuan lebih adil.

Pelbagai pihak menyifatkan pangkalan itu mampu mengurangkan subsidi bahan api sebanyak RM6 bilion tahun ini dengan pelaksanaan kelayakan ujian kemampuan berdasarkan kepada pendapatan boleh guna bersih.

Mengulas lanjut, Khairul Annuar berkata, kerajaan perlu menguar-uarkan cadangan mekanisme pembelian bahan api kepada rakyat dengan segera supaya tidak mencetuskan pelbagai masalah dan kekeliruan dalam kalangan masyarakat sebaik sahaja pelaksanaan program subsidi berdasarkan bahan api tidak lagi.

Malah katanya, buat masa kini negara tidak mempunyai undang-undang menyeluruh untuk memantau pembelian bahan api khususnya dalam kalangan warga asing dan menyebabkan mereka terbuka membeli petrol atau diesel dengan sewenang-wenangnya.

“Misalnya perbuatan warga asing beli RON95, sebaliknya yang dipersalahkan adalah pengusaha stesen minyak dan bukannya pelaku terlibat. Jadi kita bimbang, pelaksanaan subsidi bersasar bahan api mengulangi perkara sama jika tiada pemantauan dan mekanisme lebih berkesan,” katanya.

Beliau berkata, PDAM telah memohon untuk mengadakan pertemuan bersama Kementerian Ekonomi untuk membincangkan pelaksanaan subsidi bersasar bahan api dan sehingga kini masih belum menerima sebarang jawapan.

“Kita cuma dah hantar cadangan pemberian bantuan tunai kepada golongan sasar kepada Kementerian Kewangan agar pelaksanaan subsidi bersasar lebih berkesan daripada menggunapakai kad pengenalan atau sistem kad elektronik yang boleh menimbulkan pelbagai masalah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×