DEFISIT fiskal Kerajaan Persekutuan bagi 2026 disemak kepada 3.6 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), berbanding sasaran asal 3.5 peratus, susulan tekanan ekonomi global akibat konflik yang semakin memuncak di Asia Barat dan gangguan berlarutan rantaian bekalan dunia.
Semakan itu dibuat selepas kerajaan mengambil kira implikasi fiskal daripada langkah intervensi bagi melindungi rakyat dan perniagaan, termasuk peningkatan perbelanjaan subsidi bahan api yang mencecah RM40 bilion berikutan kenaikan harga minyak mentah global.
Menurut laporan Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2027, Belanjawan 2026 pada asalnya dirangka berdasarkan unjuran pertumbuhan ekonomi antara 4.0 hingga 4.5 peratus, dengan andaian harga minyak mentah antara AS$60 hingga AS$65 setong serta sasaran defisit fiskal 3.5 peratus daripada KDNK.
Bagaimanapun, perkembangan geopolitik dan gangguan perdagangan global telah meningkatkan tekanan terhadap kos sara hidup, perbelanjaan kerajaan serta pengurusan sumber fiskal, sekali gus memerlukan pelarasan terhadap beberapa andaian asal belanjawan.
Laporan itu menyatakan kerajaan melaksanakan tindak balas segera secara bersepadu menerusi pendekatan seluruh kerajaan bagi menjamin bekalan tenaga dan barangan keperluan, membendung tekanan kos serta memperkukuh daya tahan ekonomi negara.
“Langkah utama termasuk meneruskan subsidi bahan api bersasar serta pelarasan sementara terhadap kuota dan kawalan bahan api bagi mengurus permintaan dan membendung ketirisan,” menurut laporan itu.
Bagi mengurangkan tekanan terhadap kedudukan fiskal, kerajaan turut menyusun semula keutamaan perbelanjaan dan memperkenalkan langkah penjimatan dalam operasi sektor awam, tanpa mengetepikan bantuan kepada golongan yang memerlukan.
Antara langkah yang dilaksanakan ialah aturan bekerja dari rumah secara fleksibel, pengurangan penganjuran upacara rasmi, majlis dan persidangan, selain sekatan terhadap perjalanan serta latihan ke luar negara yang tidak mendesak.
Kerajaan turut memperkemas kawalan perbelanjaan bagi perkhidmatan dan bekalan serta merasionalisasikan pemberian geran dan pindahan kepada badan berkanun serta agensi yang mempunyai keupayaan menjana hasil dan rizab mencukupi.
Secara keseluruhan, langkah pengoptimuman dan penetapan semula keutamaan perbelanjaan itu dianggarkan menghasilkan penjimatan sebanyak RM5 bilion.
Dalam pada itu, perbelanjaan subsidi bahan api yang meningkat susulan kenaikan harga minyak mentah global mendorong kerajaan melaksanakan beberapa pelarasan terhadap mekanisme bantuan bahan api.
Kuota bulanan BUDI95 dikurangkan sementara kepada 200 liter pada April 2026, manakala pelaksanaan Budi Diesel diseragamkan di seluruh negara.
Bagaimanapun, kuota bulanan BUDI95 dinaikkan semula kepada 300 liter berkuat kuasa 1 September 2026 susulan kestabilan bekalan tenaga domestik.
Pada masa sama, kerajaan mengekalkan langkah bantuan bersasar kepada rakyat, khususnya Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), bagi membantu mengurangkan tekanan kos sara hidup.
Bantuan bil elektrik turut diperluas dengan pengecualian diberikan kepada isi rumah bagi penggunaan sehingga 800 kilowatt-jam (kWj) sebulan, susulan peningkatan kos tenaga. – UTUSAN











