KUALA LUMPUR: Kerajaan menerusi Kementerian Dalam Negeri (KDN) dikesan menggunakan Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS) tanpa kontrak yang dimuktamadkan kira-kira enam tahun.
Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, perkara itu antara hasil siasatan berhubung Laporan Pengurusan Pekerja Asing Melalui Sistem Pengurusan Pekerja Asing Bersepadu (ePPAx) dan FWCMS di bawah Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) serta KDN yang dibentangkan hari ini.
Kata beliau, pihaknya mengadakan empat prosiding pada 5 Disember 2023 dan 22 Januari serta 13 Mac lalu berhubung isu berkenaan.
Katanya, antara saksi terlibat prosiding terbabit terdiri daripada Jabatan Audit Negara, KDN, Kesuma, Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) dan vendor sistem FWCMS, syarikat Bestinet Sdn. Bhd.
“Melalui prosiding yang diadakan, PAC mendapati Mesyuarat Jemaah Menteri pada 26 Ogos 2015 telah meluluskan pembangunan sistem ePPAX dan FWCMS iaitu dua sistem yang sama berkonsepkan single window. Ini sekali gus berlakunya pertindihan fungsi antara agensi dalam membangunkan sistem pengurusan pekerja asing dan pembaziran wang awam.
“PAC turut mendapati bahawa kontrak FWCMS belum dimuktamadkan dan ditandatangani antara kerajaan dan vendor walaupun Surat Setuju Terima (SST) bagi pembangunan sistem FWCMS telah dikeluarkan pada 12 Januari 2018 sehingga tarikh prosiding terakhir PAC, 13 Mac 2024.
“Ini bermakna kerajaan atau KDN menggunakan sistem FWCMS selama lebih kurang enam tahun tanpa kontrak yang dimuktamadkan dan ini jelas melanggar peraturan yang ditetapkan kerajaan,” katanya dalam sidang akhbar di Parlimen.
Mas Ermieyati berkata, surat Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) bertarikh 30 Disember 2020 menyatakan FWCMS tidak termasuk di dalam senarai projek yang mendapat kelulusan prinsip Jemaah Menteri atau Surat Niat untuk dilaksanakan secara Kerjasama Awam Swasta bagi 2009 hingga 31 Mei 2020.
Selain itu, katanya, PAC mendapati Nota Jemaah Menteri mengenai hala tuju dan pelaksanaan FWCMS tidak diangkat kepada Jemaah Menteri sebelum SST dikeluarkan.
“PAC turut dimaklumkan KDN bahawa Bestinet telah memohon perlanjutan kontrak bagi tempoh enam tahun dan kenaikan caj kutipan daripada RM100 kepada RM120.
“Pada 24 Jun, Menteri KDN memaklumkan bahawa Jemaah Menteri bersetuju melanjutkan kontrak selama tiga tahun lagi dengan syarikat Bestinet.
“PAC akan mendapatkan maklumat berkaitan perkara ini dalam prosiding tindakan susulan yang diadakan dalam tempoh tiga bulan dari hari ini,” katanya.
Seterusnya, PAC turut mendapati wujudnya kelemahan dalam pengurusan kawalan Identification (ID) dalam sistem FWCMS yang mana terdapat dua ID dipegang oleh bukan pegawai Kesuma manakala terdapat 24 unauthorised user yang telah pun meluluskan 24 permohonan majikan.
“Kes ini telah dilaporkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya satu siasatan dijalankan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, PAC mengesyorkan lima langkah untuk diambil sebagai tindakan pembaikan berhubung isu berkenaan.
Katanya, KDN dan Bestinet Sdn. Bhd. hendaklah dengan segera memuktamadkan keputusan perjanjian dan hala tuju sistem FWCMS dan KDN perlu memastikan sebarang perolehan berkaitan teknologi komunikasi maklumat (ICT) dirujuk kepada dasar dan peraturan sedia ada yang berkuat kuasa oleh Jabatan Digital Negara.
“KDN juga hendaklah membetulkan kecelaruan yang berlaku dalam proses perolehan dan mencari jalan penyelesaian dengan segera serta KDN dan Kesuma perlu bekerjasama merangka pelan strategik yang menyeluruh berhubung pengurusan pekerja asing dan tidak terhad kepada pembangunan sistem semata-mata.
“Seterusnya, kedua-dua kementerian perlu memastikan tiada lagi pertindihan fungsi sistem yang dibangunkan mengakibatkan pembaziran wang awam dan PDRM perlu memaklumkan perkembangan terkini terhadap siasatan 24 permohonan kuota pekerja asing yang telah diluluskan oleh unauthorised user seperti dilaporkan oleh Kesuma,” katanya. – UTUSAN








