KUALA LUMPUR: Sebanyak RM103.8 juta wang jaminan yang dibayar menerusi sistem bayaran jaminan dalam talian mahkamah (e-Jamin) dilaburkan atas nama syarikat pengendali sistem berkenaan sekali gus melanggar peraturan kewangan negara.
Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, wang berkenaan dimasukkan ke dalam akaun komersial Dapat Vista Sdn. Bhd. dan menjana faedah antara RM4 juta hingga RM5 juta setahun.
Katanya, tindakan itu didapati melanggar Perkara 97(1) Perlembagaan Persekutuan serta Seksyen 7 Akta Tatacara Kewangan 1957.
“Daripada RM193.71 juta deposit jaminan yang dipegang setakat 31 Disember 2024, sebanyak RM103.8 juta telah dilaburkan atas nama syarikat dan menghasilkan faedah antara RM4 juta hingga RM5 juta setahun,” katanya di Parlimen semalam.
Beliau berkata, sistem e-Jamin telah beroperasi di 192 mahkamah di seluruh negara sejak 10 Januari 2020 namun beroperasi selama lima tahun tanpa surat lantikan, surat setuju terima, surat hasrat, atau kontrak rasmi dengan Kerajaan Persekutuan.
Menurutnya, sistem itu diperkenalkan bagi membolehkan bayaran jaminan dibuat secara dalam talian sekali gus mengelakkan orang kena tuduh menjalani tahanan reman tambahan antara satu hingga dua hari sekiranya pertuduhan dibuat lewat selepas waktu operasi bank tamat.
Bagaimanapun, PAC mendapati pengurusan dana wang jaminan berkenaan turut dibuat tanpa struktur pemegang amanah, bon pelaksanaan atau perlindungan insurans.
Keadaan itu menyebabkan penjamin terdedah kepada risiko kewangan dan hanya berstatus pemiutang biasa sekiranya syarikat terbabit menghadapi masalah kewangan atau muflis.-UTUSAN.











