RM103.8 juta wang jaminan e-Jamin langgar peraturan kewangan

RM103.8 juta wang jaminan e-Jamin langgar peraturan kewangan

MAS ERMIEYATI SAMSUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebanyak RM103.8 juta wang jaminan yang dibayar menerusi sistem bayaran jaminan dalam talian mahkamah (e-Jamin) dilaburkan atas nama syarikat pengendali sistem berkenaan, sekali gus melanggar peraturan kewangan negara.

Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, wang berkenaan dimasukkan ke dalam akaun komersial Dapat Vista Sdn. Bhd. dan menjana faedah antara RM4 juta hingga RM5 juta setahun.

Katanya, tindakan itu didapati melanggar Perkara 97(1) Perlembagaan Persekutuan serta Seksyen 7 Akta Tatacara Kewangan 1957.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Daripada RM193.71 juta deposit jaminan yang dipegang setakat 31 Disember 2024, sebanyak RM103.8 juta telah dilaburkan atas nama syarikat dan menghasilkan faedah antara RM4 juta hingga RM5 juta setahun,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.

Mas Ermieyati berkata, sistem e-Jamin telah beroperasi di 192 mahkamah di seluruh negara sejak 10 Januari 2020, namun beroperasi selama lima tahun tanpa surat lantikan, surat setuju terima, surat hasrat (letter of intent) atau kontrak rasmi dengan Kerajaan Persekutuan.

Menurutnya, sistem itu diperkenalkan bagi membolehkan bayaran jaminan dibuat secara dalam talian, sekali gus mengelakkan orang kena tuduh (OKT) menjalani tahanan reman tambahan antara satu hingga dua hari sekiranya pertuduhan dibuat lewat selepas waktu operasi bank tamat.

Bagaimanapun, PAC mendapati pengurusan dana wang jaminan berkenaan turut dibuat tanpa struktur pemegang amanah, bon pelaksanaan atau perlindungan insurans.

Keadaan itu menyebabkan penjamin terdedah kepada risiko kewangan dan hanya berstatus sebagai pemiutang biasa sekiranya syarikat terbabit menghadapi masalah kewangan atau muflis.

Mas Ermieyati berkata, PAC turut menemukan perbezaan baki RM557,258 yang masih belum disahkan antara rekod sistem e-Jamin dengan penyata bank syarikat dengan perbezaan itu berpunca daripada transaksi jaminan harian yang aktif.

Beliau berkata, sistem e-Jamin juga pernah diarahkan berhenti beroperasi sementara, namun keputusan itu mendapat bantahan Badan Peguam Malaysia dan orang awam kerana dikhuatiri menyebabkan kelewatan pelepasan OKT.

“Seterusnya, Kementerian Kewangan menetapkan supaya sistem sedia ada terus digunakan secara percuma tetapi menerusi perjanjian rasmi berserta struktur bank pemegang amanah,” katanya.

Mas Ermieyati berkata, PAC berpandangan pengoperasian e-Jamin tanpa kontrak selama lima tahun menerusi pengecualian khas berulang merupakan tempoh terlalu lama bagi ketidakpatuhan kewangan.

Sehubungan itu, PAC menggesa Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan (PKPMP) dan Kementerian Kewangan menyegerakan rundingan serta memuktamadkan perjanjian rasmi dengan Dapat Vista bagi melindungi dana jaminan.

PAC turut mengesyorkan PKPMP membangunkan modul bayaran jaminan dalaman bagi mengurangkan kebergantungan kepada vendor serta memastikan pemilikan penuh kerajaan terhadap data berkaitan.

PAC menjalankan empat prosiding berhubung perkara itu antara 4 November hingga 2 Disember 2025. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN