PAC disaran tubuh badan khas siasat pengurusan TH 2018-2025

PAC disaran tubuh badan khas siasat pengurusan TH 2018-2025

AHMAD Zahid Hamidi ditemui pemberita selepas Musyawarah Nasional Realiti dan Persepsi: Jangan Mempolitikkan Tabung Haji di sini hari ini. UTUSAN/ MOHD. FARIZWAN HASBULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) disaran menubuhkan sebuah badan khas bagi menjalankan siasatan terhadap pengurusan Lembaga Tabung Haji (TH) untuk tempoh 2018 hingga 2025.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, cadangan itu dikemukakan secara tidak formal oleh beberapa Ahli Parlimen yang hadir dalam wacana intelektual berkaitan TH hari ini.

“Dalam pertemuan hari ini, ahli-ahli Parlimen yang hadir mencadangkan agar PAC Parlimen Malaysia dapat menubuhkan sebuah badan khas di bawah PAC untuk melakukan penyiasatan selepas dapatan kajian sehingga 2017.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pada hemat saya, ini adalah satu saranan yang harus diikuti agar tidak ada tuduhan penyelewengan,” katanya kepada pemberita selepas Musyawarah Nasional Realiti dan Persepsi: Jangan Mempolitikkan Tabung Haji di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata, laporan RCI yang dipengerusikan oleh Tun Md. Raus Sharif sebelum ini juga tidak menunjukkan penudingan jari terhadap mana-mana individu berhubung keputusan yang dibuat oleh pihak pengurusan TH.

Katanya, perkara itu perlu dilihat secara menyeluruh bagi memastikan persepsi masyarakat terhadap institusi berkenaan dapat diperjelaskan berdasarkan fakta.

Beliau berkata, isu melibatkan sijil audit bersih yang dikeluarkan Jabatan Audit Negara (JAN) terhadap TH juga perlu diberi perhatian.

“Sijil yang dikeluarkan oleh JAN jelas memperlihatkan bahawa sijil bersih telah dikeluarkan.

“Pengauditan yang dilakukan terhadap Tabung Haji adalah berdasarkan aktanya dan Akta Tabung Haji menyebut bahawa audit itu perlu dilakukan oleh Jabatan Audit Negara.

“Inilah yang harus dilihat oleh PAC agar kerajaan ini dapat membetulkan persepsi berdasarkan realiti yang mahu diketahui oleh khalayak umum,” katanya.

Mengulas sama ada perkara itu perlu dibawa ke Kabinet, Ahmad Zahid berkata, langkah berkenaan tidak diperlukan kerana wacana itu bertujuan memberikan penjelasan mengenai isu berkaitan TH.

“Saya tidak fikir ia perlu dibawa ke Kabinet kerana forum ini adalah forum penjelasan.

“Pada hemat saya, apa yang disarankan secara tidak formal tadi oleh ahli-ahli Parlimen harus diberikan keutamaan, terutamanya PAC harus menubuhkan badan penyiasat di bawah tanggungjawab PAC sendiri.

“Ini lebih afdal berbanding pendekatan lain,” katanya.

Beliau berkata, PAC lebih sesuai menjalankan siasatan berkenaan kerana jawatankuasa itu mempunyai locus standi berdasarkan tugas dan tanggungjawabnya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, siasatan baharu perlu dilakukan terhadap pentadbiran dan pengurusan TH bagi tempoh selepas RCI terdahulu sehingga kini.

Menurut beliau, selain penubuhan RCI baharu, PAC juga boleh diberikan peranan untuk meneliti semula perkara berkenaan termasuk memanggil saksi-saksi berkaitan.

“Oleh sebab itulah saya bersetuju dengan cadangan supaya RCI baharu perlu diadakan untuk menyiasat kedudukan Tabung Haji daripada tahun 2019 atau 2018 sehingga kini.

“Perlu dibuat satu RCI baharu. Ataupun mungkin kita boleh minta PAC Parlimen supaya meneliti semula laporan ini dan boleh memanggil saksi-saksi. Itu dua cara,” katanya.

Takiyuddin berkata, antara perkara yang perlu diperjelaskan ialah kedudukan TH Plantations Berhad (THP) susulan apa yang dakwaan wujudnya percanggahan antara status siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan cadangan dalam laporan RCI.

Katanya, pada 2021, Pengerusi THP ketika itu, Tan Sri Abu Talib Othman yang juga bekas Peguam Negara telah menulis kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM bagi mendapatkan penjelasan mengenai status siasatan berhubung beberapa pembelian saham syarikat tertentu.

Menurut beliau, surat daripada Ketua Pesuruhjaya SPRM ketika itu, Tan Sri Azam Baki kepada Abu Talib menyatakan pembelian saham berkenaan adalah teratur dan tiada kesalahan dikesan sehingga keputusan tiada tindakan lanjut (NFA) dibuat.

Bagaimanapun, beliau berkata, laporan RCI mencadangkan audit forensik dilakukan terhadap 14 syarikat termasuk THP dan TH Indo Plantations.

Katanya, cadangan itu dilihat bercanggah dengan kedudukan SPRM yang menurut beliau sebelum itu mendapati tiada kesalahan dikesan dalam pembelian saham membabitkan THP sehingga siasatan berkenaan diklasifikasikan sebagai NFA.

“Sekarang ini dua keadaan ini, SPRM kata TH Plantations tak ada masalah, tetapi RCI kata TH Plantations perlu dibuat audit forensik.

“Jadi itu benda yang kita cuba persoalkan. Kita bukan hendak persoalkan RCI, tetapi dapatan negatif ini perlu diperhalusi,” katanya.

Beliau berkata, isu membabitkan TH tidak seharusnya digambarkan secara berlebihan seolah-olah institusi berkenaan terpalit dengan skandal besar.

“Kita tidak menafikan mungkin ada kesalahan teknikal di sana sini, itu boleh dibaiki, tetapi bukanlah satu serangan yang menyebabkan dan menggambarkan seolah-olah institusi ini telah terjerumus dalam satu skandal yang begitu besar,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini