PETALING JAYA: Tiga teras utama dirangka bagi memperkukuh kawalan keselamatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) meliputi keselamatan penerbangan, keselamatan negara dan sempadan serta keselamatan fizikal dan perlindungan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pelan tindakan berkenaan diluluskan Jemaah Menteri menerusi Memorandum Bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pengangkutan (MOT) pada 19 Ogos lalu.
Katanya, bagi menjayakan teras tersebut, pelaksanaannya dibahagikan kepada tiga fasa bermula dengan Fasa 1 (Jangka Pendek; 0 hingga 6 bulan) yang memberi tumpuan kepada pengetatan tapisan keselamatan (e-Vetting), kawalan akses ke kawasan keselamatan terhad serta saringan dadah secara rawak.
“Langkah e-Vetting dan kawalan akses ini diterajui oleh Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan (CGSO) bersama Aviation Security (AVSEC).
“Ini bagi memastikan rekod pemegang pas keselamatan sentiasa dikemas kini dan akses boleh ditarik balik sekiranya individu berkenaan tidak lagi memenuhi ketetapan keselamatan,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat kepada soalan Onn Abu Bakar (PH-Batu Pahat) mengenai status pelaksanaan 17 syor memperkukuh keselamatan KLIA dan pintu masuk antarabangsa.
Mengulas lanjut mengenai saringan dadah secara rawak, Saifuddin berkata, langkah pencegahan itu telah dimulakan ke atas kumpulan sasaran khususnya juruterbang dan kru penerbangan bagi memelihara integriti keselamatan penerbangan.
Bagi Fasa 2 (Jangka Sederhana; 6 hingga 24 bulan) pula, tumpuan diberikan kepada perolehan aset strategik berteknologi tinggi termasuk pengimbas bagasi dan pengimbas badan (body scanner) berkuasa tinggi serta pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) berkeupayaan analitik kecerdasan buatan (AI).
“Fasa ini turut merangkumi pengukuhan Unit K9 Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta integrasi data Pusat Risikan Nasional (NICC),” katanya.
Sementara itu, katanya, Fasa 3 (Jangka Panjang; melebihi 24 bulan) akan membabitkan pemodenan sistem keselamatan secara menyeluruh menerusi penggantian pengimbas generasi baharu berteknologi AI di semua pintu masuk udara, darat dan laut negara, selain pengubahsuaian infrastruktur terminal dan kargo mengikut tahap risik.-UTUSAN











