KUALA LUMPUR: Konsep insurans kesihatan swasta sedia ada di Malaysia terdedah kepada amalan pemilihan risiko dan gagal berfungsi sebagai jaringan keselamatan sosial jangka panjang kerana meminggirkan golongan rentan melalui mekanisme harga.
Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, 19 prosiding berhubung isu peningkatan bayaran premium insurans kesihatan, caj hospital swasta dan impak kepada kesihatan awam telah dijalankan tahun lalu.
Menurutnya, hasil prosiding itu mendapati struktur pengebilan hospital swasta kurang ideal dan gagal mencerminkan kos sebenar.
“Caj item ubat-ubatan dan bekalan perubatan di ‘mark-up’ tinggi, kadang kala sehingga 300 peratus, bagi menampung kos operasi wajib yang tidak dicaj atau disubsidi seperti caj wad, ICU dan penyediaan Jabatan Kecemasan 24 jam.
“PAC menemui amalan memecahkan caj bagi item asas seperti pelupusan sisa klinikal, sarung bantal dan alkohol swab yang sepatutnya termasuk dalam caj bilik.
“Wujud juga diskriminasi harga di mana pesakit menggunakan surat jaminan (GL) dikenakan kadar caj lebih tinggi berbanding pesakit tunai,” katanya dalam kenyataan.
Mas Ermieyati berkata, PAC turut mendapati faktor utama inflasi dalam sektor kesihatan bukanlah yuran profesional doktor yang sudah dikawal ketat di bawah Akta 586 sejak 2013 tetapi lonjakan komponen caj bukan profesional hospital swasta.
“Perkara ini termasuk bekalan dan peralatan ubat-ubatan, peningkatan harga ubatan, caj ujian diagnostik dan makmal, penggunaan teknologi dan rawatan yang lebih mahal, kos operasi hospital swasta yang semakin meningkat seperti tenaga kerja, utiliti dan teknologi.
“Dalam masa yang sama, kos litigasi dan rawatan defensif juga semakin memberi tekanan,” katanya.
Mengulas lanjut, katanya, terdapat lebih 1,500 jenis ubat yang hanya mempunyai satu pengeluar berdaftar di Malaysia sekali gus mewujudkan monopoli menetapkan harga tinggi tanpa persaingan.
Sementara itu, katanya, PAC mengesyorkan 17 perkara untuk dilaksanakan kerajaan terutama Bank Negara (BNM) perlu memastikan industri insurans dan takaful beralih kepada pelarasan premium tahunan yang lebih kecil dan stabil untuk mengelakkan kejutan kenaikan kewangan yang besar terhadap pemegang polisi.
“Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) perlu memberi panduan kepada pihak berkepentingan supaya amalan rundingan diskaun antara pihak hospital dan insurans bagi memastikan proses terbabit adil dan tidak menjejaskan akses pesakit.
“Kementerian Kesihatan (KKM) perlu memastikan pelaksanaan Sistem kumpulan berkaitan diagnosis (DRG) di sektor swasta disegerakan untuk menggalakkan kecekapan kos serta memastikan pindaan Akta 586 (Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998) dilaksanakan bagi memberi kuasa kepada KKM mengawal selia caj perkhidmatan hospital swasta selain yuran doktor,” katanya.
Selain itu, KKM dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) perlu menetapkan mekanisme pengawalan harga bagi ubat-ubatan dan peralatan perubatan supaya kekal munasabah untuk mengelakkan tiada pihak yang mengambil keuntungan berlebihan.
“KKM perlu meneroka sumber bekalan dari pengeluar secara terus dengan mengutamakan pengeluar tempatan bagi mengurangkan kebergantungan kepada dominasi pembekal atau kartel tertentu.
“Kementerian Kewangan, BNM dan KKM perlu mewujudkan tadbir urus baharu dan bebas untuk penjagaan kesihatan swasta bagi melindungi pengguna, termasuklah untuk menyemak dan mengawal selia caj dan manfaat insurans kesihatan,” katanya. – UTUSAN










