Lelaki mengaku bersalah hina, ugut Kerabat Diraja Terengganu

Lelaki mengaku bersalah hina, ugut Kerabat Diraja Terengganu

AZMAN Hakim Hassanuddin mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, Sepang atas lima pertuduhan membuat hantaran bersifat menghina dan mengancam beberapa ahli Kerabat Diraja Terengganu menerusi aplikasi X.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Seorang lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas lima pertuduhan membuat hantaran bersifat menghina dan mengancam beberapa ahli Kerabat Diraja Terengganu menerusi aplikasi X.

Tertuduh, Azman Hakim Hassanuddin, 35, membuat pengakuan selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman.

Mengikut pertuduhan, Azman Hakim didakwa membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang jelik melampau serta mengancam menerusi akaun X miliknya pada 19 Februari lalu pada pukul 2.25 petang, 4.19 petang, 4.20 petang dan 4.29 petang dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Bagi satu lagi pertuduhan, dia didakwa membuat hantaran komunikasi yang mengancam pada pukul 3.46 petang dengan niat untuk mengugut seseorang.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(2) akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500,000 atau dipenjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali, selain denda tambahan RM5,000 bagi setiap hari kesalahan diteruskan selepas pensabitan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fadhli Ab Wahab memohon agar tertuduh dihantar ke hospital psikiatrik untuk pemerhatian serta penilaian psikiatrik bagi menentukan sama ada layak dibicarakan.

Mahkamah kemudian membenarkan permohonan tersebut lalu memerintahkan tertuduh dihantar ke hospital psikiatrik serta ditahan reman tanpa jaminan sehingga laporan psikiatrik diperoleh.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 26 Ogos ini bagi mendapatkan laporan psikiatrik berhubung tahap kesihatan mental tertuduh. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN