PETALING JAYA: Seramai 14 penerima cemerlang menerima Biasiswa Yang di-Pertuan Agong 2026 di Istana Negara, hari ini.
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan biasiswa berkenaan kepada tujuh penerima di peringkat Doktor Falsafah (PhD) dan tujuh penerima di peringkat Sarjana (Penyelidikan).
Daripada jumlah itu, empat penerima akan melanjutkan pengajian di universiti terkemuka luar negara manakala 10 lagi meneruskan pengajian di universiti penyelidikan tempatan.
Penerima biasiswa PhD terdiri daripada Afiefah Zulkifli yang melanjutkan pengajian dalam bidang Pemakanan di Universiti Putra Malaysia (UPM); Aiman Zakwan Azman (Farmakologi dan Farmasi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)); dan Chua Hui Qi (Matematik dan Statistik, UPM).
Turut menerima biasiswa PhD ialah Giroon Ijod (Pemakanan, UPM); Haimon Franklin (Biologi, UKM); Lee Yu Shi (Catalysis, Universiti Malaya) dan Waywen Loh (Immunology, University of Oxford).
Penerima biasiswa bagi peringkat Sarjana (Penyelidikan) pula ialah Amirul Haziq Azwan (Biologi, University College London, UK); Chan Ler Yie (Farmakologi dan Farmasi, University College London); dan Chris Ee Jia Wen (Genetic and Heredity, Universiti Sains Malaysia).
Turut menerima biasiswa berkenaan ialah Lim Fang (Biokimia, UKM); Mohamad Izuwansah Ishak (Persekitaran, UPM); Muhammad Zulhusni Che Razali (Persekitaran, Imperial College London, UK); dan Putri Najihah Athirah Zamrifana (Sains Veterinar, UPM).
BYDPA merupakan biasiswa paling berprestij di bawah Jabatan Perkhidmatan Awam yang diperkenalkan pada 2006 bagi menaja warganegara Malaysia yang cemerlang bukan sahaja dalam bidang akademik, malah aktif dalam aktiviti kokurikulum, kemasyarakatan serta penghasilan karya berunsurkan kreativiti dan inovasi.
Sejak diperkenalkan, BYDPA telah menaja 239 individu melibatkan 124 penerima di peringkat PhD dan 115 di peringkat Sarjana (Penyelidikan) dalam pelbagai bidang strategik dan kritikal negara termasuk STEM, ekonomi, undang-undang, kewangan Islam serta AI. – UTUSAN










