KUALA LUMPUR : Keterangan sembilan saksi akan diambil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bermula esok berhubung pendedahan dokumen berkaitan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN 2/2024) terhadap HRD Corp.
Sumber mendedahkan kepada Utusan Malaysia, proses merakam keterangan itu akan dilakukan secara berperingkat.
Tanpa mendedahkan individu yang dipanggil, kata sumber, setakat ini, tiada tangkapan dilakukan oleh SPRM.
“SPRM kini dikatakan sedang mengkaji dokumen-dokumen yang diambil daripada kedua-dua agensi iaitu HRD Corp dan Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia (KESUMA),” katanya di sini.
Dalam pada itu, sepasukan pegawai penyiasat SPRM hari ini sekali lagi berkunjung ke ibu pejabat HRD Corp bagi meneliti beberapa perkara susulan rampasan beberapa dokumen semalam.
Tinjauan Utusan Malaysia di lokasi mendapati, enam pegawai penyiasat SPRM tiba di bangunan HRD Corp kira-kira pukul 2.30 petang sebelum dilihat meninggalkan lokasi pada pukul 4.30 petang tadi.
Utusan Malaysia dimaklumkan, kunjungan mereka ke pejabat HRD Corp untuk bertemu beberapa pegawai di situ bagi mendapatkan penjelasan lanjut tentang beberapa perkara. Bagaimanapun, tiada sebarang dokumen diambil pada hari ini.
SPRM telah memulakan penyiasatan berhubung isu HRD Corp dengan mengambil dokumen-dokumen berkaitan Laporan Ketua Audit Negara dari Kementerian Sumber Manusia dan HRD Corp semalam.
Hasil analisis awal mendapati, terdapat 12 rumusan teguran yang diketengahkan dalam Laporan Audit tersebut.
Namun begitu, fokus utama siasatan SPRM menjurus kepada elemen-elemen jenayah (criminality) yang tertakluk di bawah Akta SPRM 2009.
Media melaporkan, pengurusan dana RM41.970 bilion melibatkan 11 kementerian dikesan mempunyai banyak kelemahan dalam melaksanakan pelbagai program, projek dan aktiviti kerajaan.
la didedahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2024 menerusi sembilan pengauditan meliputi projek-projek yang telah dilaksanakan dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9) sehingga Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12). – UTUSAN










