Kementerian Sumber Manusia sedia garis panduan gaji permulaan RM2,500

Kementerian Sumber Manusia sedia garis panduan gaji permulaan RM2,500

R. Ramanan pada sidang akhbar berhubung Perintah Gaji Minimum 2027 di Menara PERKESI, Putrajaya. -UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) sedang menyediakan garis panduan gaji pokok permulaan RM2,500 sebulan bagi graduan dan pekerja separa mahir untuk memastikan pelaksanaan kerangka gaji baharu itu mempunyai asas yang jelas kepada majikan serta pekerja.

Menterinya, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan berkata, garis panduan berdasarkan Piawaian Pengelasan Pekerjaan Malaysia (MASCO) itu akan menyediakan rujukan gaji pokok permulaan yang lebih komprehensif mengikut jenis pekerjaan dan tahap kelayakan.

“Pembaharuan paling signifikan yang diumumkan dalam Belanjawan Madani 2027, iaitu kerangka gaji pokok permulaan RM2,500 bagi graduan dan
pekerjaan separa mahir, termasuk pendekatan dan mekanisme pelaksanaannya oleh Kesuma untuk memastikan upah lebih setimpal dengan kelayakan dan kemahiran pekerja.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Bagi memastikan pelaksanaannya dibuat secara teratur dan mempunyai asas yang jelas kepada majikan serta pekerja, Kesuma sedang menyediakan Garis Panduan Gaji Pokok Permulaan berdasarkan MASCO,” katanya pada sesi Taklimat Garis Panduan Gaji Pokok Permulaan Berdasarkan Piawaian Pengelasan Pekerjaan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata, bagi pekerjaan graduan, Kesuma mencadangkan penanda aras gaji bagi kategori MASCO 1 hingga MASCO 3 dilaksanakan terlebih dahulu dalam bentuk garis panduan.

Jelasnya, kategori itu merangkumi graduan lepasan ijazah, diploma, Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia Tahap 5, Diploma Kemahiran Malaysia Tahap 4 dan Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 3.

Bagi pekerjaan separa mahir pula, beliau berkata, Kesuma akan menyelaraskan pendekatan itu dengan Garis Panduan Gaji Pokok Permulaan Berasaskan Kemahiran, termasuk bagi pemegang Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 1 dan 2 dan membolehkan kerangka gaji pokok permulaan diperluas secara lebih menyeluruh meliputi MASCO 1 hingga MASCO 8.

“Panduan gaji bagi MASCO 1 hingga 3 ditetapkan daripada hasil kajian graduan yang telah melalui beberapa sesi libat urus. Panduan gaji ini turut telah mengambil kira panduan gaji pokok permulaan berdasarkan dasar gaji progresif (DGP) bagi melengkapkan panduan gaji bagi MASCO 4 hingga 8,” ujarnya.

Tambahnya lagi, kadar gaji pokok permulaan akan dikemas kini menggunakan data terkini Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dan maklumat berkenaan akan dimuat naik dalam portal e-MASCO serta diterbitkan bersama Perintah Gaji Minimum Baharu pada Jun 2027.

“KESUMA menyasarkan supaya garis panduan ini diterbitkan dan dilaksanakan seiring dengan pelaksanaan Perintah Gaji Minimum 2026 pada Jun 2027. Pendekatan ini akan menyediakan satu rujukan berpusat yang lebih jelas kepada majikan dan pekerja berhubung gaji pokok permulaan mengikut pekerjaan, kelayakan dan kemahiran,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini