Dua pasangan beradik terpilih belajar di UniSZA - Utusan Malaysia

Dua pasangan beradik terpilih belajar di UniSZA

MUHAMMAD Fathullah Mashkur Md. Norsalam dan Nurdina teruja dapat menyambung pengajian dalam kursus yang sama di UniSZA, Kuala Nerus, hari ini. - UTUSAN/KAMALIZA KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Dua pasangan beradik mencipta kenangan manis apabila terpilih antara 1,010 pelajar baharu Asasi dan Diploma yang mendaftar ke Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di sini, hari ini.

Muhammad Fathullah Mashkur Md. Norsalam, 19, dan adik perempuannya, Nurdina, 18, mengakui mereka sangat teruja apabila menerima tawaran daripada universiti tersebut kerana dapat memudahkan urusan keluarga pada hari pendaftaran.

Fathullah berkata, mereka dua beradik memilih pengajian Diploma Dakwah dan menjadikan UniSZA sebagai universiti pilihan utama ketika membuat permohonan.

“Alhamdulillah, sangat bersyukur dan gembira kerana berpeluang untuk menuntut ilmu bersama adik dalam program yang sama.

“Sebelum ini, saya dah terima tawaran di UniSZA tapi ketika itu saya sedang belajar di sebuah pondok tahfiz di Kuala Nerang, Kedah dan terpaksa tolak tawaran untuk menamatkan pengajian saya di situ.

“Hari ini, impian saya untuk melanjutkan pelajaran ke UniSZA akhirnya tercapai dan kami berharap pengajian akan berjalan lancar demi mencapai cita-cita untuk menjadi seorang Pegawai Hal Ehwal Islam,” katanya yang merupakan anak sulung dari sembilan beradik ketika ditemui di sini, hari ini.

Sementara itu, sepasang lagi adik-beradik iaitu Maryam Dhea, 18, dan kakaknya Hawa’, 20, juga teruja kerana dapat melanjutkan pelajaran ke UniSZA yang menjadi universiti pilihan pertama mereka ketika membuat permohonan.

Maryam menyambung pengajian dalam Diploma Bahasa dan Kesusasteraan Arab manakala kakaknya, Dhaea, pula menyambung pengajian dalam program Diploma Pemasaran.

Maryam berkata, dia dan kakaknya telah menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bersama pada tahun lepas di Tahfiz Al Muqarrabin, Kerteh.

“Kakak saya terpaksa menunda SPM sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan disebabkan COVID-19 dulu dan menunggu untuk mengambil SPM bersama-sama saya.

“Alhamdulillah, ada hikmahnya kerana kami dapat menyambung Diploma bersama walaupun berbeza umur,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN