TASEK GELUGOR : Dewan Pemuda Pas Negeri Pulau Pinang (DPPNPP) sebulat suara mahu Pengerusi Perikatan Nasional (PN) negeri, Datuk Dr. Dominic Lau ditukar daripada terus memimpin parti gabungan itu pada masa depan.
Keputusan tersebut dicapai ketika Muktamar Tahunan sayap parti itu kali yang ke-44 yang berlangsung di sini, baru-baru ini.
Menurut Ketua Penerangan Pemuda Pas negeri, Mohamad Ikhwan Afiq Mohamad Anwar, usul untuk menukar kepimpinan PN Pulau Pinang itu dibawa oleh Dewan Pemuda Pas Kawasan Tasek Gelugor sebelum ia diluluskan secara sebulat suara.
Kata beliau, usul berkenaan dibuat dengan melihat kepada beberapa pertimbangan utama termasuk keperluan penstrukturan semula organisasi PN demi kelangsungan PN negeri, demografi penduduk negeri Pulau Pinang selain desakan ahli akar umbi.
“Usul ini hangat dibahaskan ketika muktamar berlangsung dengan ramai pembahas mengambil bahagian sebelum usul ini diluluskan secara sebulat suara.
“DPPNPP akan membentangkan usul ini ke peringkat lebih tinggi agar PN terus bertapak kukuh di Pulau Pinang,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik ke dalam laman Facebook Pemuda PAS Pulau Pinang, semalam.
Lau sebelum ini dikatakan kurang sefahaman dengan sebahagian daripada kepimpinan Pas negeri terutamanya sejak Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang, Ogos tahun lepas.
Dalam pada itu, usaha Utusan Malaysia untuk mendapatkan penjelasan lanjut berhubung perkara tersebut bagaimanapun masih belum berjaya buat masa ini.-UTUSAN








