KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 (Pindaan) 2024.
RUU tersebut diluluskan secara majoriti di mana ahli parlimen kerajaan dan pembangkang terlibat dalam sesi perbahasan selepas ia dibentangkan untuk bacaan kedua pada 9 Julai lalu.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam sidang media hari ini berkata, kelulusan RUU tersebut mampu memartabatkan peranan pegawai pemulihan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) tanpa mengenepikan tanggungjawab pegawai perubatan.
“(Menerusi RUU ini) kita naik taraf mereka (pegawai pemulihan) iaitu mereka mempunyai kuasa untuk memberi perakuan setelah mereka melakukan verifikasi terhadap klien yang datang secara sukarela untuk menerima rawatan dan pemulihan.
“Kalau sebelum ini satu sahaja (perakuan daripada) pegawai perubatan. Sekarang pegawai pemulihan boleh memperakukan setelah melakukan proses verifikasi,” katanya di Parlimen, hari ini.
Mengulas lanjut, Saifuddin turut berkata, RUU itu juga dapat memperluaskan akses rawatan dan pemulihan khususnya secara sukarela dalam kalangan penagih dadah.
Tambahnya lagi, RUU tersebut kini dialihkan kepada nyahjenayah berbanding sebelum ini yang memberi penekanan kepada hukuman kepada pesalah dadah.
“Dengan penggemblengan ini, kami harap AADK dengan tugas hakiki untuk uruskan mereka yang terlibat dengan bahan, dadah atau penagihan itu dapat ditangani dengan jauh lebih efektif.
“Maksudnya mereka yang terlibat menagih atau menyalahguna bahan, kalau sebelum ini pilihannya satu (sahaja), iaitu pemenjaraan.
“Tetapi kali ini kita salurkan kepada rawatan dan pemulihan di bawah AADK. Bukan sahaja 30 AADK yang kita ada, tetapi juga ada pusat rawatan pemulihan dadah persendirian,” ujar beliau.
Terdahulu, Saifuddin memberitahu Dewan Rakyat bahawa kementeriannya telah mengendalikan 13 sesi libat urus pada tahun ini, 22 libat urus (2023), 11 libat urus (2022), tujuh libat urus (2021) dan empat sesi libat urus (2020).
Ia bertujuan meminda Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 (Akta 283) dengan membuat perbezaan tafsiran antara penagih dadah atau bahan dengan penyalah guna dadah atau bahan, selain meluaskan skop rawatan dan pemulihan kepada penagih dadah atau bahan atau penyalah guna dadah atau bahan. – UTUSAN











