Sindiket dadah ubah taktik guna jet peribadi elak kawalan ketat

Sindiket dadah ubah taktik guna jet peribadi elak kawalan ketat

HUSSEIN Omar Khan dalam sidang akhbar di Kontinjen Polis Kuala Lumpur di sini hari ini. 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sindiket dadah antarabangsa dipercayai mula menggunakan pelbagai modus operandi baharu termasuk jet peribadi bagi menyeludup dadah susulan kawalan ketat Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Memuatkan artikel berkaitan…

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, perubahan taktik itu dikesan apabila pihak berkuasa memperketatkan kawalan dan pemantauan di KLIA.

“Mereka mula mengubah taktik lain dengan menggunakan lapangan terbang yang kecil sebagai transit dan terbaru sindiket menggunakan jet peribadi,” katanya dalam sidang akhbar di Kontinjen Polis Kuala Lumpur di sini hari ini. 

Hussein berkata, pemeriksaan lanjut mendapati syarikat perkhidmatan penerbangan persendirian beroperasi dari Subang itu baru mendapat kelulusan untuk beroperasi pada Julai lalu dan ditubuhkan oleh empat juruterbang, masing-masing dua warga Malaysia dan dua warga Singapura.

Katanya, syarikat terbabit yang berdaftar di Subang dan Kemboja dengan menawarkan perkhidmatan penerbangan persendirian bagi membawa penumpang orang kenamaan (VIP), barangan serta tujuan perubatan.

“Syarikat ini baru mendapat kelulusan untuk beroperasi pada Julai lalu dan setakat ini sudah menerima sembilan tempahan kebanyakannya bagi tujuan VIP dan perubatan.

“Macam di Laos kelmarin adalah tempahan kelapan manakala tempahan kesembilan bagi membawa pesakit dari Manila ke Jepun,” katanya. 

Dalam perkembangan sama, Hussein berkata, empat individu yang ditahan JSJN Bukit Aman di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang, baru-baru ini sudah dibebaskan selepas polis memperoleh maklumat berkaitan syarikat serta tempahan penerbangan berkenaan.

Menurutnya, mereka terdiri daripada juruterbang, pembantu juruterbang, doktor dan jururawat, dengan dua daripadanya warga Malaysia manakala dua lagi warga Singapura.

“Mereka sepatutnya membawa seorang pesakit dari Manila ke Jepun bagi tujuan rawatan. Selepas kita mendapatkan semua butiran yang diperlukan, tiada keperluan untuk menahan mereka lebih lanjut,” katanya.

Hussein berkata, semakan lanjut mendapati keempat-empat individu terbabit tidak mempunyai rekod lampau berkaitan kesalahan dadah.

Katanya, seorang pembantu juruterbang warga Malaysia yang kini ditahan di Laos juga tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.

“Kita masih menunggu kebenaran pihak berkuasa Laos bagi membolehkan pegawai JSJN ke negara berkenaan untuk mendapatkan maklumat lanjut, termasuk berkaitan rakyat Malaysia yang ditahan.

“Kita perlu menghormati prosedur dan siasatan pihak berkuasa Laos. Sebaik mendapat pelepasan, kita akan ke sana untuk mendapatkan maklumat lanjut berkaitan kes itu,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini