PETALING JAYA: Tawaran jawatan tetap kepada lebih 9,000 doktor kontrak menerusi Belanjawan 2027 masih belum mampu menyelesaikan masalah kekurangan pegawai perubatan di hospital kerajaan.
Pakar Kesihatan Komuniti, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, masalah tersebut memerlukan penyelesaian yang lebih menyeluruh kerana turut melibatkan faktor gaji dan emolumen serta beban kerja tinggi yang dihadapi doktor ketika bertugas.
Katanya, tekanan daripada kakitangan lebih senior dan tahap kepuasan kerja yang rendah juga perlu diberikan perhatian kerana kedua-duanya merupakan antara faktor yang berkait dengan masalah kekurangan doktor di fasiliti kesihatan kerajaan.
“Isu doktor kontrak yang tidak mempunyai jawatan tetap selama ini menjadi antara kebimbangan utama dalam kalangan doktor muda di Kementerian Kesihatan (KKM). Oleh itu, pengumuman kerajaan ini merupakan satu langkah yang baik.
“Bagaimanapun, saya berpandangan tawaran jawatan tetap sahaja masih belum dapat menyelesaikan masalah kekurangan doktor. Ini kerana masalah tersebut berkait dengan pelbagai faktor dan tidak hanya tertumpu kepada soal perjawatan.
“Sekurang-kurangnya, langkah awal ini dapat membantu meningkatkan kepuasan doktor terhadap status perjawatan mereka. Selain itu, jawatan tetap juga memudahkan urusan untuk melanjutkan pengajian dan membuat pinjaman,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sementara itu, Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Aidalina Mahmud berkata, peningkatan peruntukan penyumberan luar rawatan pesakit kepada RM200 juta berpotensi mempercepat rawatan melalui penggunaan kemudahan hospital lain termasuk sektor swasta tanpa perlu menunggu pembinaan fasiliti baharu.
Katanya, keberkesanan langkah tersebut perlu diukur berdasarkan pengurangan sebenar tempoh menunggu pesakit dan rawatan yang berjaya dipercepat, bukannya hanya jumlah pesakit yang dirujuk ke hospital lain.
“Bagaimanapun, hospital penerima mesti benar-benar mempunyai ruang, petugas dan kelengkapan untuk menerima pesakit tambahan. Kalau tidak, kita mungkin sekadar memindahkan tempat pesakit menunggu,” katanya. –UTUSAN.











