PETALING JAYA: Skuad remaja negara mencipta kejutan apabila menempah slot ke perlawanan akhir selepas membenam Indonesia 2-0 pada Kejohanan Badminton Remaja Dunia Berpasukan Campuran 2026 di Kaherah, Mesir, malam tadi.
Kali terakhir Malaysia melangkah ke perlawanan akhir adalah pada edisi 2017, tetapi Malaysia kecundang kepada China.
Bagaimanapun, gelaran dunia pernah didakap Malaysia pada 2011 iaitu kira-kira 15 tahun lalu dan sejak itu, skuad negara masih belum mampu mengulangi pencapaian tersebut.
Pada separuh akhir, Malaysia membuka aksi dengan kekalahan dialami perseorangan lelaki, Tiew Wei Jie yang terpaksa akur kepada Fardhan Rainanda Joe 6-11.
Bagaimanapun, kekecewaan itu ditebus kembali beregu perempuan, Genevie Lim-Low Zi Yu yang mengetepikan Atresia Naufa Candani-Aurelia Syakira Putri 22-17.
Indonesia kembali memintas tetapi dengan hanya berkelebihan satu mata apabila perseorangan perempuan negara, Carine Tee kalah tipis 32-33 di tangan Jolin Angelia.
Pertarungan sengit berterusan apabila beregu campuran yang diwakili gandingan Ahmad Redzuan Zulwaqqarizal Ahmad-Zi Yu menjadi wira Malaysia apabila berhasil menundukkan Moses Andar Simanjuntak-Reya Azzahra Yulianti 44-43.
Beregu lelaki, Damien Ling-Irfan Muhammad Shazmir memastikan mata pertama berada di dalam genggaman Malaysia apabila mereka menewaskan Faizal Pangestu-Anju Siahaan 55-49.
Perjuangan Malaysia disambung ke dalam set kedua dan barisan pemain negara semakin bersemangat untuk memburu kemenangan apabila Wei Jie membalas dendam kekalahannya dalam set pertama selepas menumpaskan Fardhan 11-7.
Rentak kemenangan itu diteruskan oleh Genevie-Zi Yu yang mengalahkan Atresia-Aurelia 22-11, manakala, Carine mengetepikan Jolin 33-28.
Ahmad Redzuan-Zi Yu terus konsisten untuk menewaskan Moses-Reya 44-37, sementara, dalam aksi beregu lelaki, Ahmad Redzuan yang digandingkan dengan Isyraf Hafizin memastikan kemenangan 55-42 ke atas Faizal-Anju.
Kejayaan tersebut membawa Malaysia ke perlawanan akhir, esok sama ada bertemu juara bertahan, China atau Thailand. – UTUSAN











