PETALING JAYA: Setiap peruntukan dan inisiatif Belanjawan 2027 perlu diterjemahkan kepada pelaksanaan cekap dan berkesan supaya manfaatnya benar-benar dirasai rakyat.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pelaksanaan itu diharap dapat memberikan rakyat pendapatan lebih baik, peluang lebih luas dan kehidupan lebih terjamin.
“Belanjawan 2027 mencerminkan kesungguhan Kerajaan Perpaduan untuk mengangkat taraf hidup rakyat serta membuka ruang lebih luas bagi mereka membina masa depan lebih baik.
“Pada masa yang sama, pembangunan yang saksama antara negeri, pengukuhan prasarana asas dan peluasan peluang ekonomi diberi keutamaan bagi memastikan kemakmuran negara turut dinikmati masyarakat luar bandar,” katanya.
Ahmad Zahid berkata, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menerima peruntukan RM12.68 bilion bagi 2027, meningkat RM281.08 juta atau 2.27 peratus berbanding RM12.40 bilion tahun ini.
Katanya, jumlah itu merangkumi RM4.85 bilion bagi perbelanjaan mengurus dan RM7.833 bilion untuk pembangunan.
“Bagi memperkukuh prasarana asas desa, sebanyak RM3.3 bilion diperuntukkan, termasuk untuk pemasangan lampu jalan kampung, kemudahan komuniti serta bekalan air bersih dan elektrik manakala peruntukan Projek Jalan Desa ditingkatkan kepada RM2.3 bilion.
“Selain itu, liputan 4G disasarkan diperluas ke semua kampung Orang Asli pada 2027, sementara bekalan elektrik ditambah baik di sekolah tahfiz, pondok dan perkampungan Orang Asli,” katanya.
Dalam aspek pendidikan, beliau berkata, lebih 130 kelas Tabika Tunas Istimewa baharu akan dibuka di kawasan desa seluruh negara bagi membolehkan anak autistik daripada keluarga susah mendapat bimbingan awal lebih berkesan.
“Belanjawan 2027 turut memberikan tumpuan kepada usaha menangani kos sara hidup melalui peluasan bantuan bersasar, subsidi dan perlindungan sosial, selain meningkatkan pendapatan serta memperkukuh kesejahteraan rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, bidang robotik dan latihan teknikal berkemahiran tinggi menjadi antara keutamaan kerajaan menerusi pelaksanaan TVET 2.0 yang disokong peruntukan RM7.9 bilion dalam Belanjawan 2027.
Beliau berkata, peruntukan kepada pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) itu akan digunakan bagi memperluas kursus bersesuaian dengan keperluan industri serta meningkatkan kebolehpasaran graduan.
Katanya, tumpuan khusus akan diberikan kepada program TVET peringkat tinggi menerusi Majlis TVET Negara. – UTUSAN











