Sindiket sasar lapangan terbang kecil, jet peribadi seludup dadah

Sindiket sasar lapangan terbang kecil, jet peribadi seludup dadah

HUSSEIN Omar Khan (dua, kiri) melihat barangan rampasan dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sindiket dadah antarabangsa dipercayai mula menggunakan pelbagai modus operandi baharu termasuk lapangan terbang yang lebih kecil serta perkhidmatan jet peribadi bagi menyeludup dadah susulan kawalan ketat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, perubahan taktik itu dikesan apabila pihak berkuasa memperketatkan kawalan dan pemantauan di KLIA.

“Mereka mula mengubah taktik lain dengan menggunakan lapangan terbang yang kecil sebagai transit dan terbaru sindiket menggunakan jet peribadi,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Kuala Lumpur di sini, semalam.

Memuatkan artikel berkaitan…

Hussein berkata, siasatan lanjut mendapati perkhidmatan jet peribadi yang beroperasi dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang dipercayai digunakan sindiket antarabangsa untuk membawa dadah dari Laos ke Manila selepas penerbangannya ditempah individu dari Fi­lipina.

Katanya, siasatan awal mendapati tempahan penerbangan itu dibuat oleh seorang warga Fi­lipina dipercayai dalang sindiket kira-kira seminggu sebelum kejadian iaitu pada 23 September lalu dengan bayaran AS$49,500 (RM210,000) untuk membawa barangan yang didakwa sebagai ‘vape’ dari Laos ke Manila.

Ujar beliau, siasatan kini turut bagi mengenal pasti sama ada pemilik syarikat penerbangan ber­kenaan mempunyai kaitan de­ngan sindiket atau mereka hanya menjadi mangsa pe­nyalahgunaan perkhidmatan.

“Setakat ini, apa yang boleh saya sahkan, dadah itu bukan dari Malaysia untuk dibawa ke Laos. Kami percaya laluan itu adalah dari kawasan segi tiga emas ke negara destinasi dan perkhidmatan itu telah digunakan sindiket bagi tujuan menyeludup dadah dari Laos ke Filipina.

“Kami masih menyiasat sama ada kegiatan itu hanya berlaku antara Laos dan Filipina atau terdapat juga cubaan membawa dadah berkenaan ke Malaysia. Pihak polis masih menunggu kebenaran pihak berkuasa Laos bagi membolehkan pegawai JSJN ke negara berkenaan untuk mendapatkan maklumat lanjut ” katanya.

Sementara itu, Hussein berkata, pihaknya turut menahan tujuh individu dipercayai terlibat dengan sindiket penyeludupan dadah antarabangsa dengan menggunakan laluan udara bagi menghantar bekalan ke luar negara melalui Op Tebuan dalam serbuan berasingan di Perak, Selangor dan Kedah bermula 1 September hingga 4 Oktober lalu.

Katanya, operasi berkenaan membawa kepada penahanan tujuh suspek termasuk seorang warga asing berusia 34 hingga 58 tahun serta rampasan 210.32 kilogram (kg) methamphetamine dan 95.45 kg bunga ganja bernilai keseluruhan RM18.16 juta.

“Serbuan pertama pada 1 September lalu dijalankan di perkarangan Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah, Ipoh, Perak dengan menahan seorang lelaki warga asing dipercayai sedang menunggu penerbangan dari Ipoh ke Si­ngapura untuk transit sebelum berlepas ke London, United Kingdom.

“Susulan tangkapan tersebut, JSJN Bukit Aman menjalankan enam lagi serbuan di sekitar Selangor dan Kedah pada 30 September serta 4 Oktober lalu de­ngan menahan enam lagi suspek. Sindiket ini turut menghantar bekalan kepada ‘keldai dadah’ untuk diseludup ke luar negara melalui laluan udara,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini