Bahan kandungan vape wajib berdaftar dengan KKM

Bahan kandungan vape wajib berdaftar dengan KKM

DZULKEFLY AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bahan kandungan dalam semua produk merokok termasuk rokok elektronik atau vape yang ingin diimport, dikilang atau diedar wajib berdaftar dengan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menurut Menterinya, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, ia selaras dengan peraturan di bawah Seksyen 3, Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852).

“Semua bahan-bahan atau kandungan yang mengandungi dadah serta bahan psikoaktif yang dinyatakan di bawah Akta Racun 1952 (Akta 366) dan Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta 234) adalah dilarang.

“Pihak pengimport, pengilang atau pengedar juga perlu mengemukakan laporan analisa kandungan produk merokok yang ingin dipasarkan, contohnya seperti kandungan nikotin, propylene glycol, glycerol dan triethylene glycol.

“Dengan mekanisme pendaftaran ini, KKM dapat memastikan produk yang dijual tidak mengandungi bahan-bahan yang terlarang,” katanya menerusi jawapan lisan dalam laman sesawang Parlimen, hari ini.

Terdahulu, Senator Datuk Husain Awang meminta kementerian menjelaskan perancangan dalam menangani isu penggunaan cecair nikotin vape yang dicampur dadah yang didakwa memberi kesan serius terhadap kesihatan mental pengguna.

Menurut Dzulkefly lagi, pihaknya akan sentiasa menyokong dan bekerjasama dengan agensi penguatkuasa yang lain seperti Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia (KASTAM) dalam melindungi orang ramai daripada kesan akibat penggunaan rokok elektronik atau vape yang mengandungi bahan berbahaya seperti dadah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN