PUTRAJAYA: Jumlah orang yang dilaporkan hilang kekal 900 orang pada setiap tahun namun kadar penemuan semula adalah tinggi iaitu antara 85 peratus hingga 90 peratus.
Sehubungan itu Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menafikan dakwaan terdapat trend peningkatan mendadak membabitkan kes orang hilang di negara ini.
“Pada 2020 hingga Jun lalu, berdasarkan statistik Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), insiden orang hilang kekal kira-kira 900 orang setiap tahun.
“Daripada kes orang hilang yang dilaporkan, yang kekal hilang antara 10 hingga 15 peratus,” katanya dalam sidang akhbar selepas Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini, semalam.
Dalam pada itu, Saifuddin berkata, KDN dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga sentiasa memandang serius insiden orang hilang yang dilaporkan di negara ini.
“Satu kes sekali pun adalah serius, bukan maknanya kita boleh pandang enteng.
“Itu kita kata orang ramai boleh mainkan peranan dengan membuat aduan orang hilang kepada polis,” ujarnya.
Kes terbaharu melibatkan seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun, Albertine Leo Jia Hui yang hilang di pusat perniagaan Eco Galleria, Iskandar Puteri, Johor Sabtu lalu namun ditemukan selamat di sebuah hotel murah di Batang Kali, Selangor, semalam.
Sementara itu Saifuddin berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan meneliti laporan platform Forbes Advisor yang menyenaraikan Kuala Lumpur sebagai antara bandar paling bahaya di Asia Tenggara untuk dilawati.
Katanya, laporan tersebut dilihat bercanggah dengan Indeks Keamanan Global (GPI) 2024 yang menunjukkan Malaysia menduduki tempat ke-10 sebagai antara negara paling aman di dunia dan negara ketiga paling aman di rantau Asia Pasifik.
“Kayu pengukur GPI jelas namun saya belum baca kayu ukur Forbes Advisor, saya tidak kata saya nafikan, tapi saya belum baca.
“Nilai persepsi terhadap jenayah, ada berpuluh kayu pengukur termasuk peruntukan per kapita (dan) keselamatan yang sangat komprehensif, saya mahu ulas tapi kayu ukur Forbes ini saya belum teliti,” katanya.
Dalam indeks berkenaan, Kuala Lumpur menjadi bandar kelima paling bahaya untuk dilawati di Asia Tenggara manakala bandar-bandar lain yang tersenarai dalam kategori sama adalah seperti Yangon, Myanmar diikuti Manila Filipina; Jakarta, Indonesia dan Ho Chi Minh, Vietnam.
Mengulas lanjut, beliau berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa komited dalam memastikan keamanan dan ketenteraman awam di negara ini. – UTUSAN










