SUNGAI PETANI: Warga Myanmar yang mempunyai rekod kesalahan jenayah di negara ini tidak akan dihantar pulang ke Myanmar serta-merta, sebaliknya perlu menjalani proses undang-undang Malaysia terlebih dahulu.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perkara itu merupakan antara ketetapan dalam mekanisme penghantaran pulang yang dipersetujui kerajaan Myanmar menerusi pertemuan dua hala, baru-baru ini.
“Pemerintah Myanmar bersetuju menerima kembali rakyat mereka yang berada di tempat kita setelah kita melakukan proses yang ditetapkan, melainkan ada satu red line iaitu mereka yang ada rekod jenayah.
“Kalau rekod kita mendapati dia terlibat pelanggaran undang-undang, kita akan uruskan secara undang-undang dahulu. Itu tidaklah segera penghantaran pulang,” katanya pada sidang akhbar Program Townhall Madani di Universiti Teknologi Mara (UiTM), hari ini.
Pada 8 Oktober lalu, Myanmar menyatakan kesediaan menerima penghantaran pulang antara 3,000 hingga 4,000 lagi rakyatnya yang kini berada di depot tahanan imigresen negara ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu dimaklumkan Presiden Myanmar, Min Aung Hlaing dalam pertemuan dua hala mereka di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya.
Seramai 1,400 warga Myanmar menjadi kumpulan terbaharu dihantar pulang dengan menggunakan kapal tentera laut Myanmar pada akhir bulan lalu, menjadikan keseluruhan 10,000 rakyat negara itu yang telah kembali ke Myanmar sejak Januari lalu.
Dalam perkembangan sama, Saifuddin berkata, pihak Myanmar turut memberikan jaminan keselamatan kepada individu yang dihantar pulang ke negara mereka.
“Kementerian Dalam Negeri (KDN) turut menyertai pertemuan baru-baru ini, dan jaminan keselamatan itu telah diberikan oleh Presiden Myanmar sendiri. Jadi kita ambil setakat itu dulu, bahawa jaminan itu adalah jaminan keselamatan,” katanya.
Tambahnya, baki 3,600 warga Myanmar yang dikenal pasti dalam kumpulan 5,000 rakyat negara itu sebelum ini, dijangka dihantar pulang secara berperingkat selepas ini.-UTUSAN











