LONDON: Lebih 3,000 gelandangan di England setakat ini ditawarkan tempat penginapan atau bantuan menerusi program kerajaan bagi membantu golongan itu keluar daripada kehidupan di jalanan menjelang sambutan Krismas.
Perdana Menteri United Kingdom (UK), Andy Burnham sebelum ini berikrar untuk menamatkan masalah gelandangan di seluruh negara, malah menyifatkannya sebagai arahan pertama selepas memegang jawatan.
Data terbaharu yang dikeluarkan pada Jumaat menunjukkan seramai 9,369 individu tidur di jalanan di England pada September lalu, iaitu sebelum program berkenaan dimulakan.
Jumlah itu meningkat satu peratus berbanding tempoh sama tahun lalu, sekali gus menunjukkan skala masalah gelandangan yang masih dihadapi negara itu.
Data berkenaan turut mendedahkan bilangan individu yang telah lama hidup sebagai gelandangan kini berada pada paras tertinggi sejak pengumpulan data bermula pada Mei 2023. Angka itu juga terus meningkat setiap bulan sejak Februari 2026.
Kerajaan memaklumkan Program Gelandangan menyediakan peruntukan sebanyak 874 juta pound (RM4.7 bilion) untuk tempoh tiga tahun bagi membantu golongan berkenaan mendapatkan tempat tinggal serta sokongan masa depan.
Data Kementerian Perumahan, Komuniti dan Kerajaan Tempatan (MHCLG) yang dikeluarkan pada Jumaat meliputi tempoh Julai hingga September 2026, manakala data pertama berkaitan program menangani masalah gelandangan yang diperkenalkan Perdana Menteri hanya merangkumi Oktober lalu.
Daripada 9,369 individu yang dianggarkan tidur di tempat awam sepanjang September lalu, sebanyak 31 peratus merupakan gelandangan baharu, manakala enam peratus baru keluar daripada institusi, kebanyakannya penjara.
Menurut kerajaan, jumlah itu mencatatkan penurunan sebanyak 22 peratus berbanding September tahun lalu.
Sementara itu, sebanyak 82 peratus kawasan di England yakin dapat menawarkan bantuan kepada semua gelandangan untuk keluar daripada kehidupan di jalanan menjelang 1 Disember susulan peruntukan baharu yang disediakan kerajaan.- AGENSI











