Tiada halangan untuk pesakit sedang dirawat keluar mengundi - Dzulkefly

Tiada halangan untuk pesakit sedang dirawat keluar mengundi – Dzulkefly

DZULKEFLY Ahmad (tiga dari kiri) Ketika mengadakan lawatan kerja ke Hospital Sungai Bakap di Nibong Tebal, Pulau Pinang hari ini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NIBONG TEBAL : Tiada halangan untuk mana-mana pesakit yang sedang mendapatkan rawatan di hospital keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap 6 Julai ini sekiranya mereka mendapat kelulusan daripada doktor.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, pesakit perlu mendapatkan pandangan daripada doktor yang merawat mereka terlebih dahulu untuk mengetahui risiko serta tahap kesihatan masing-masing sebelum keluar mengundi.

“Kalau ada pesakit (yang mahu mengundi) mereka perlu bergantung kepada nasihat doctor dari sudut risiko dan kesihatan pesakit.

“Saya yakin mereka boleh dengar pandangan doktor dan kalau dapat diuruskan, pastinya mereka dapat melunaskan hak untuk keluar mengundi,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja ke Hospital Sungai Bakap, di sini hari ini.

Tambah Dzulkefly, kakitangan hospital bagaimanapun diberi kelonggaran untuk menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi melalui pengundian awal iaitu pada 2 Julai ini.

Dalam pada itu, ketika ditanya sama ada lawatan kerja beliau yang jatuh pada hari penamaan calon bagi PRK Sungai Bakap umpama menabur ‘gula-gula’ pada pilihan raya berkenaan, Dzulkefly berkata, takwim bagi program Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) telah dibuat hampir setahun yang lalu.

“Kebetulan minggu ini saya di Pulau Pinang untuk melunaskan tanggungjawab. Tidak ada ‘gula-gula’ pilihan raya kecuali pertemuan dengan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pulau Pinang dan lawatan ke hospital,” katanya.

Menyentuh mengenai tapak bangunan Hospital Sungai Bakap yang baharu pula, Dzulkefly berkata, JKN Pulau Pinang telah mengenal pasti tapak yang sesuai dan proses berikutnya kini sedang diusahakan oleh pihak Kementerian Kesihatan iaitu melibatkan permohonan pemberi milikan lot tanah tersebut.

“Tapak tanah untuk pembangunan Hospital Sungai Bakap telah dikenal pasti, maka kita akan ke langkah berikutnya iaitu mahu dapatkan peruntukan.

“Saya tidak mahu buat apa-apa janji di sini dan kita ada rancangan untuk jadikan hospital ini sebagai pusat geriatrik,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN