PUTRAJAYA: Tunggakan bil melibatkan kos rawatan kesihatan warga asing termasuk etnik Rohingya di negara ini menunjukkan trend penurunan dengan RM30.57 juta direkodkan pada tahun lalu, berbanding RM33.46 juta pada 2024 dan RM34.97 juta pada 2023.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, warga asing termasuk kumpulan etnik berkenaan tidak menerima sebarang manfaat subsidi seperti warga tempatan, mahu pun diskaun bagi kos perubatan mereka.
Menurutnya, tunggakan bil yang direkodkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) itu majoritinya adalah melibatkan pendatang asing tanpa izin.
“Warga asing tidak dikecualikan. Isu yang bersabit dengan warga asing tidak diberi subsidi. Memang warga asing dikenakan caj rawatan yang sebenarnya jauh lebih tinggi daripada rakyat tempatan.
“Mereka tidak diberi diskaun. Contohnya, caj pesakit luar pakar bagi warga asing adalah RM120, manakala rakyat Malaysia kita bayar hanya RM5 untuk berjumpa dengan seorang pakar, RM1 untuk berjumpa doktor (biasa). Warga asing tidak diberi subsidi,” katanya.
Dzulkefly berkata demikian menerusi sidang akhbar selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi Pelaksanaan Inisiatif Pemacu Ekosistem dan Ketersambungan Kesihatan Digital Negara (PERSADA) antara KKM dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di sini hari ini.
Terdahulu, media melaporkan kerajaan menanggung kira-kira RM30 juta setahun bagi membiayai kos rawatan kesihatan, termasuk perkhidmatan bersalin, melibatkan pelarian etnik Rohingya di hospital kerajaan.
Mengulas lanjut, Dzulkefly menegaskan bahawa kementerian tidak sesekali membiarkan isu tunggakan bil itu berlanjutan dan telah menjalankan pelbagai tindakan untuk mengutip bayaran tersebut.
Beliau berkata, antara tindakan yang diambil termasuk mewajibkan bayaran deposit sebelum rawatan bermula.
“Dan kita cari majikan-majikan yang gagal bayar bil bagi pekerja asing. Kita juga bekerjasama dengan Jabatan Imigresen, UNHCR (Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian) dan NGO (badan bukan kerajaan) yang ada kaitan dengan warga asing ini untuk membantu membiayai kos rawatan mereka yang tidak berkemampuan. Perkara ini kita ‘follow through’ untuk dapatkan balik hutang yang mereka tanggung,” ujarnya.
Bagaimanapun, Dzulkefly berkata, KKM tidak boleh menolak mana-mana individu yang datang dalam keadaan kecemasan kritikal atau komplikasi bersalin atas dasar kecemasan manusia atau ‘no wrong door policy’.
Ditanya lanjut mengenai laporan kebanjiran etnik Rohingya di fasiliti kesihatan awam di negara ini, Dzulkefly menjelaskan bahawa perkara itu berkemungkinan timbul akibat persepsi di luar sana serta keadaan ketika ini yang tertumpu dan bersasar kepada Rohingya. – UTUSAN










