PUTRAJAYA: Sebanyak 150 hospital kerajaan dan 2,488 fasiliti kesihatan awam di seluruh negara akan mengguna pakai inisiatif Pemacu Ekosistem dan Ketersambungan Kesihatan Digital Negara (PERSADA) bagi memperkukuh aliran kerja klinikal, meningkatkan kecekapan operasi serta memastikan kesinambungan rawatan lebih baik.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, PERSADA bakal dilaksanakan dalam dua fasa sehingga 2028 yang melibatkan pemodenan dan keterhubungan secara lebih menyeluruh menerusi kerjasama dengan Kementerian Komunikasi.
Katanya, kerjasama antara KKM dan MCMC itu akan memberi tumpuan kepada empat inisiatif utama iaitu meningkatkan liputan dan kualiti capaian Internet di fasiliti kesihatan awam dan memperkukuh pelaksanaan Sistem Rekod Perubatan Elektronik (EMR) bagi menyokong kesinambungan rawatan pesakit.
Jelasnya, kerjasama itu juga bertujuan memperluas perkhidmatan telekesihatan melalui integrasi Malaysia Virtual Health Assistant System (MyVAS) dengan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) serta meneroka penggunaan teknologi dron bagi penghantaran perubatan di kawasan yang sukar diakses.
“Pelaksanaan PERSADA dijangka dapat mempercepat urusan rawatan, memendekkan tempoh masa menunggu, memperkukuh perkongsian maklumat kesihatan serta memperluas akses kepada perkhidmatan kesihatan yang lebih cekap dan bersepadua di seluruh negara,” katanya ketika berucap pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi Pelaksanaan PERSADA di sini hari ini.
Dzulkefly berkata, inisiatif ini dijangka memberi manfaat yang besar kepada rakyat apabila seorang pesakit di kawasan pedalaman boleh mendapatkan khidmat nasihat kesihatan tanpa perlu melakukan perjalanan yang jauh, itu lah kejayaan transformasi digital.
“Apabila seorang doktor dapat mengakses rekod kesihatan pesakit secara segera bagi membuat keputusan klinikal yang lebih tepat, itu juga kejayaan transformasi digital dan pesakit kronik dapat menerima rawatan susulan dengan lebih cepat dan teratur hasil integrasi data kesihatan,” katanya.
Sementara itu, menerusi sidang akhbar, Fahmi berkata, sebanyak RM650 juta diperuntukkan bagi inisiatif PERSADA dengan anggaran kos RM74 juta bagi fasa pertama melalui Universal Service Provision Fund (USP Fund) yang diuruskan oleh MCMC. – UTUSAN










