Bukan gaduh, cuma tidak berminat – Syuk jawab Tomok - Utusan Malaysia

Bukan gaduh, cuma tidak berminat – Syuk jawab Tomok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Vokalis kumpulan New Boyz, Tomok, terpaksa menerima hakikat apabila bekas pemain bes kumpulan itu, Syuk, tidak berminat untuk kembali bergabung bagi menjayakan konsert mereka yang dijadualkan berlangsung Disember ini.

Syuk atau Mohd. Syukri Mohd. Shanushi, menerusi media sosial menjelaskan keputusannya itu bukan disebabkan perselisihan faham atau merajuk dengan mana-mana anggota kumpulan berkenaan.

Sebaliknya, dia mengakui sudah tidak berminat untuk kembali bersama New Boyz meskipun menerima pelawaan menyertai konsert berkenaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Maaf Tomok, aku tak merajuk dan kita tak bergaduh pun. Aku cuma beritahu sudah tak berminat nak sertai New Boyz.

“Terima kasih sebab jemput untuk sertai konsert,” tulisnya yang memaklumkan kali terakhir bertemu Tomok pada 2010.

Bagaimanapun, Syuk tetap mendoakan agar konsert yang dijadualkan berlangsung pada 5 Disember ini berjalan lancar dan mencapai kejayaan.

“Aku doakan NB (New Boyz) selalu sukses dan konsert berjalan lancar,” katanya.

Terdahulu, Tomok mencuri perhatian apabila memaklumkan usaha mencari Syuk bagi memenuhi hasrat peminat yang mahu melihat barisan asal New Boyz kembali bersama menerusi konsert berkenaan.

Menurut Tomok, dia sudah berusaha menghubungi Syuk, malah turut berkunjung ke kediaman bekas anggota kumpulan itu, namun gagal bertemu dengannya.

Bagaimanapun, Tomok menegaskan dia dan pihak pengurusan tidak mahu memaksa Syuk menerima pelawaan tersebut sekiranya bekas anggota itu tidak bersedia untuk kembali bersama kumpulan berkenaan. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini