PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) sudah menggerakkan pasukan bantuan bagi membantu mangsa kebakaran rumah atas air Kampung Bahagia di Sandakan, Sabah, termasuk menyediakan sokongan kesihatan fizikal dan psikologi di pusat penempatan sementara (PPS).
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, KKM terus menyalurkan bantuan segera kepada mangsa yang terjejas, walaupun beliau dimaklumkan tiada kehilangan nyawa dalam kejadian itu.
Menurutnya, antara pasukan yang digerakkan termasuk kaunselor, jururawat serta pegawai perubatan dan pembantu perubatan yang menjadi sebahagian daripada pasukan bergerak KKM.
“Pasukan ini akan berada di PPS dan sebahagiannya sudah pun berada di lokasi. KKM turut memberi tumpuan khusus kepada bantuan psikologi kepada mangsa dan kita biasanya bertindak pantas dalam aspek itu,” katanya selepas Majlis Pelancaran Dapatan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2025 (NHMS 2025): Kesihatan Warga Emas di sini, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan kira-kira 1,000 buah rumah di perkampungan atas air dekat Kampung Bahagia musnah dalam kebakaran awal pagi semalam.
Ia adalah kebakaran kali ketiga pernah berlaku di kampung berkenaan namun merupakan paling besar selepas kejadian pada tahun 1994 dan 2001. – UTUSAN










