KUANTAN: Kira-kira tujuh juta tan tandan sawit kosong yang dihasilkan di negara ini setiap tahun tidak dibuang dan dibiarkan mereput begitu sahaja sebaliknya dihantar semula ke ladang sebagai sungkupan dengan anggaran 40 tan tandan kosong untuk setiap satu hektar ladang sawit.
Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, lambakan tandan sawit kosong di ladang adalah salah satu kaedah penggunaan sungkupan dalam sektor perladangan bertujuan mengekalkan kelembapan tanah, mengurangkan pertumbuhan rumpai dan memperbaiki struktur tanah.
“Teknik penggunaan tandan sawit kosong sebagai sungkupan di ladang sawit untuk mengawal hakisan tanah yang mana ia membantu melindungi permukaan tanah daripada impak air hujan.
“Sungkupan juga digunakan untuk mengekalkan kelembapan tanah, mengurangkan suhu tanah, mengawal pertumbuhan rumpai, memelihara struktur tanah dan menyediakan nutrien kepada tanah, di samping turut meningkatkan aktiviti biologi tanah secara semula jadi.
“Kaedah ini terbukti secara saintifik dapat memaksimumkan produktiviti dan pokok sawit dengan cara yang lebih berkesan dan mampan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Baru-baru ini, Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM) mendakwa, negara gagal menjana pendapatan RM10 bilion setahun apabila dianggarkan kira-kira tujuh juta tan sisa tandan kelapa sawit kosong yang dihasilkan daripada aktiviti perladangan dibuang dan dibiarkan mereput di ladang-ladang.
Mengulas lanjut, Ahmad Parveez berkata, selain dijadikan sungkupan di ladang, tandan sawit kosong juga dijual mengikut kategori iaitu segar pada harga RM2 hingga R5 per tan, bermayang (RM10 hingga RM15 per tan) dan gentian kering panjang (RM300 hingga RM400 per tan).
Beliau berkata, dari aspek penyelidikan dan komersial, tandan sawit kosong cukup bernilai kerana mengandungi selulosa, hemiselulosa dan lignin yang sesuai sebagai bahan asas untuk pelbagai aplikasi termasuk industri penghasilan tenaga alternatif yang membantu mengurangkan kebergantungan kepada pada bahan bakar fosil dan mengurangkan pencemaran.
“Selain itu, tandan sawit kosong juga menawarkan nilai komersial yang tinggi sebagai bahan kompos dalam industri pertanian, bahan komposit dalam industri pembinaan, bahan kimia semula jadi dalam industri kimia, serta tidak terhad dari segi potensi kegunaannya yang lain.
“Penyelidikan MPOB telah menghasilkan teknologi penghasilan pulpa dan kertas daripada tandan sawit kosong sebagai salah satu cabang aplikasi yang menarik dan bernilai. Namun kajian makmal dan lapangan mendapati beberapa isu dan cabaran yang perlu dihadapi antaranya, komposisi air dan lignin yang tinggi dalam tandan sawit kosong menjadikannya sukar untuk diproses menjadi pulpa di samping turut memerlukan bahan kimia, kos pengeluaran, serta tenaga yang tinggi.
“Meskipun diproses dengan menggunakan kaedah yang terbaik, kertas yang dihasilkan daripada tandan sawit kosong mungkin mempunyai sifat mekanikal dan optikal yang berbeza berbanding kertas yang dihasilkan daripada pulpa kayu, yang boleh menjejaskan penerimaan pasaran. Penyesuaian dalam proses pengeluaran juga diperlukan untuk memastikan kertas yang dihasilkan memenuhi standard industri,” katanya.
Beliau berkata, bagi sudut ekonomi pula, pengeluaran pulpa dan kertas daripada tandan sawit kosong secara besar-besaran memerlukan bekalan bahan tersebut yang berpanjangan, konsisten dan mencukupi.
“Pengurusan sisa dan produk sampingan daripada proses ini juga perlu diteliti terlebih dahulu untuk memastikan aktiviti komersial yang mampan. Namun begitu, tidak dinafikan terdapat potensi komersial dalam industri penghasilan pulpa dan kertas daripada tandan sawit kosong dengan memanfaatkan sisa sawit dan mengurangkan kebergantungan terhadap sumber kayu tradisional,” katanya.
Menurutnya, walaupun tandan sawit kosong mempunyai potensi besar, terdapat cabaran yang perlu diatasi seperti kos pemprosesan tinggi dan keperluan untuk teknologi yang lebih efisien serta berdaya saing.
“Namun begitu, dengan perkembangan teknologi dan peningkatan kesedaran terhadap kemampanan, tandan sawit kosong dijangka memainkan peranan penting dalam ekonomi kitaran masa depan. Ia sumber biojisim yang berharga dan berpotensi besar untuk pelbagai aplikasi industri. Dengan kajian berterusan dan peningkatan teknologi, penggunaan tanda sawit dapat menyumbang kepada pembangunan mampan dan pengurangan sisa industri.
“Pekebun, pengusaha ladang malah penggiat sektor perladangan sawit di Malaysia sudah sekian lama menyedari pelbagai potensi serta manfaat tandan sawit kosong ini dalam memastikan produktiviti tanaman sawit mereka,” katanya. – UTUSAN










