Harga kelapa sawit, getah meningkat

Harga kelapa sawit, getah meningkat

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Harga dua komoditi utama Malaysia iaitu kelapa sawit dan getah terus mencatatkan perkembangan positif walaupun dunia menghadapi masalah ekonomi serta ketidaktentuan.

Bagi tempoh 4 hingga 8 Mei lalu, purata harga kelapa sawit meningkat 1.2 peratus daripada RM4,502 satu tan kepada RM4,558 satu tan manakala purata harga getah pula meningkat 2.3 peratus daripada 854 sen sekilogram kepada 874 sen sekilogram.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, peningkatan harga bagi dua komoditi utama negara itu menandakan perkembangan positif.

“Perkembangan ini dijangka menyokong pendapatan eksport negara dan memberi limpahan positif kepada pekebun kecil serta aktiviti ekonomi domestik dalam sektor perlandangan,” katanya dalam sidang media dalam talian, hari ini.

Bagi sektor pembuatan, Akmal Nasrullah berkata, ia terus menunjukkan meomentum pertumbuhan positif dengan Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Pembuatan S&P Global Malaysia meningkat kepada 51.5 pada April lalu berbanding 50.7 (Mac).

Jelasnya, bacaan melebihi paras 50 menunjukkan aktiviti sektor pembuatan sedang berkembang, disokong peningkatan permintaan, aktiviti pengeluaran dan keyakinan firma.

“Namun begitu, laporan PMI juga menunjukkan firma pembuatan mula membina stok keselamatan, dan berdepan tempoh penghantaran pembekal menjadi lebih panjang.

“Ini bermakna sektor pembuatan masih berkembang, tetapi sedang menyesuaikan operasi dengan risiko bekalan dan kos input lebih tinggi,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, prestasi pengeluaran negara juga masih kukuh dengan Indeks
Pengeluaran Perindustrian (IPP) meningkat 3.1 peratus pada Mac lalu yang dipacu oleh pertumbuhan sektor pembuatan sebanyak 5.5 peratus.

“Ini menunjukkan aktiviti perindustrian negara masih bergerak, khususnya dalam subsektor berorientasikan eksport seperti komputer, produk elektronik dan optikal, walaupun berdepan
tekanan luaran dalam aspek tenaga, logistik dan input pengeluaran,” katanya.

Tambahnya, Indeks Harga Pengeluar Perkhidmatan pula menunjukkan meningkat 2.1 peratus pada suku pertama tahun ini berbanding 1.0 peratus pada suku sebelumnya.

“Kenaikan ini dipacu oleh subsektor penginapan serta makanan dan minuman sebanyak
5.7 peratus, serta pengangkutan sebanyak 3.8 peratus.

“Perkembangan ini memberi isyarat bahawa tekanan kos sudah mula bergerak ke sektor yang lebih hampir dengan pengguna,” katanya. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN