Kadar bantuan tanam semula getah dinaikkan, beri manfaat 33,000 pekebun kecil

Kadar bantuan tanam semula getah dinaikkan, beri manfaat 33,000 pekebun kecil

Kadar bantuan tanam semula getah dinaikkan, beri manfaat 33,000 pekebun kecil
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan mengumumkan kenaikan kadar bantuan Program Tanam Semula Getah bagi Semenanjung Malaysia daripada RM13,710 sehektar kepada RM20,000 sehektar, iaitu peningkatan sebanyak RM6,290 sehektar.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kadar bantuan itu turut dinaikkan bagi negeri Sabah iaitu daripada RM14,955 sehektar kepada  RM23,000 sehektar, iaitu peningkatan sebanyak RM8,045 sehektar.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, kadar bantuan negeri Sarawak pula telah diumumkan pada bulan lalu dengan kadar baharu RM23,000 sehektar berbanding kadar lama RM14,805.

Katanya, sepanjang tempoh RMKe-13, inisiatif ini dijangka memberi manfaat  kepada sekitar 33,000 orang pekebun kecil getah dengan sasaran  keluasan tanam semula sebanyak 50,000 hektar, atau purata 10,000  hektar setahun.

“Kadar baharu ini akan mula dilaksanakan bermula tahun ini melalui  pembayaran secara lima ansuran yang lebih praktikal bagi membantu  pekebun kecil mengurus pembangunan kebun secara lebih terancang  dan berkesan.

“Langkah ini juga bertujuan mengurangkan beban kos permulaan yang menjadi kekangan utama kepada pelaksanaan tanam semula,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Ahmad Zahid, keputusan ini dibuat setelah meneliti secara menyeluruh peningkatan kos pembangunan kebun serta keperluan sebenar di peringkat lapangan, berikutan suasana ekonomi global yang masih tidak menentu serta peningkatan kos input pertanian yang semakin menekan.

Dalam jangka panjang, katanya, usaha ini diunjurkan mampu membantu pekebun kecil memperoleh pendapatan sekitar RM4,700 sebulan sekeluarga melalui hasil getah dan aktiviti ekonomi yang lain.

“Saya melihat kenaikan kadar ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan untuk terus membela, memperkasa dan memartabatkan  masyarakat pekebun kecil getah yang menjadi tulang belakang ekonomi  desa dan luar bandar,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN